China mahu hubungan berkekalan dengan S’wak

0

Mohon sebidang tanah sebagai tapak kekal untuk pejabat

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching memohon sebidang tanah daripada kerajaan negeri sebagai tapak kekal untuk pejabat mereka di sini.

Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, perkara ini telah dimaklumkan oleh Konsul Jeneral Liu Quan ketika kunjungan hormat kepada beliau baru-baru ini.

“Ini bermaksud mereka serius mengenai hubungan diplomatik antara kita. Mereka tidak mahu hubungan ini hanya bersifat sementara tetapi kekal buat selama-lamanya.

“Bukan mudah untuk mendapatkan tiga empat ekar tanah di tengah-tengah bandar ketika ini.

“Kami tidak mungkin mencadangkan padang sentral (Padang Merdeka). Tetapi kami akan cuba mencari untuk rakan kita dari China,” ujarnya.

Adenan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Memperingati Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik Antara Malaysia dan Cina dan Ulang Tahun Ke-20 Konsulat Jeneral China di Kuching.

Majlis tersebut berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam kelmarin dan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching.

Terdahulu dalam ucapannya, Adenan berkata hubungan antara China dan Borneo termasuk Sarawak bermula lebih awal dari 1974 malah sejak abad ke-8 dan 9 lagi.

Pada tahun 1974 katanya, Malaysia memulakan hubungan diplomatik dengan China secara rasmi kerana pada ketika itu Malaysia berasakan bahawa negara tidak boleh mengabaikan kehadiran sebuah negara yang amat agung di dunia.

“Apabila China mengadaptasi masyarakat dan ekonomi terbuka ia telah membawa kekayaan kepada China dan negara-negara di Asia Tenggara yang memilih untuk menjadi rakan dengan China.

“Pembukaan pasaran China kepada kita dan pembukaan pasaran kita kepada mereka telah membawa kekayaan kepada kita dan inilah kita pada hari ini.

“Saya harap hubungan ini akan lebih membuahkan hasil yang strategik untuk kebaikan masa depan antara kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu Liu dalam ucapannya berkata Malaysia merupakan antara ahli ASEAN pertama yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China yang telah membuka sejarah baharu kepada hubungan China-Malaysia dan China-ASEAN.

“Sejak penubuhan Konsulat Jeneral China di Kuching pada 1994, kami telah berusaha mempromosikan hubungan persahabatan antara China dengan Sarawak dan Sabah.

“Sejak kebelakangan ini semakin banyak syarikat China turut serta dalam pembinaan infrastruktur tempatan, SCORE dan program Koridor Pembangunan Sabah,” ujarnya.