Lebih 100 pengunjung pusat hiburan ditahan

1

KUMPUL: Pengunjung diarahkan berkumpul untuk pemeriksaan semasa serbuan sebuah premis hiburan di Sibu pagi semalam.

Penduduk mendakwa premis terbabit terlalu bising pada tengah malam hingga pagi

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Polis menahan lebih 100 pengunjung termasuk pondan di sebuah premis hiburan di Jalan Kai Peng di sini, awal pagi semalam.

Polis bertindak demikian berikutan aduan daripada penduduk berhampiran yang mendakwa premis hiburan terbabit terlalu bising pada waktu tengah malam hingga pagi.

Pasukan polis diketuai ASP Tega Bilong dan Inspektor Mohd Fazirul menyerbu premis terbabit pada jam 3.35 pagi.

Beberapa pengunjung lain yang berdiri di luar premis terbabit sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis.

Apabila polis menyerbu masuk ke dalam premis terdapat kira-kira 100 pengunjung di dalamnya.

Semua pengunjung terbabit dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan.

Polis turut merampas set Hi-Fi dari premis terbabit.

Terdahulu pada jam 2.20 pagi, pasukan polis sama turut menyerbu sebuah kafe muzik yang menjalankan operasi perjudian siber dan snuker.

Polis menahan 10 pengunjung termasuk seorang wanita warganegara China dan merampas 17 komputer.

Tahanan terbabit berusia antara 28 tahun hingga 54 tahun.

Menurut polis, seorang daripada tahanan adalah penjenayah.