Rakyat perlu tolak tindakan ekstrem dan perpecahan: Liow

0

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu menolak semua tindakan ekstrem dan perpecahan sesama kaum bagi mengekalkan kemakmuran negara, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata perpaduan dan keharmonian yang dinikmati sekarang adalah hasil usaha gigih pemimpin serta pejuang kemerdekaan, dan rakyat amat bertuah kerana dapat hidup harmoni walaupun terdiri daripada pelbagai kaum.

“Sama-samalah kita bersyukur dan hargai keamanan serta nilai-nilai murni yang dikongsi bersama dengan menjiwai semangat 1Malaysia,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Raya 2014 di sini.

Liow berkata dalam keseronokan meraikan Syawal bersama sanak saudara dan rakan taulan, rakyat negara ini harus mengenang warga Malaysia yang lain serta mereka yang terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan MH17.

“Sejajar dengan pesanan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kita harus bersatu dalam menghadapi situasi ini serta segala cabaran yang mendatang, katanya.

Penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac lalu semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal, manakala MH17 pula terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai dan mengorbankan semua 298 penumpang serta anak kapal.

Pesawat itu yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dipercayai ditembak jatuh.

Dalam pada itu, Liow yang juga Menteri Pengangkutan mengingatkan pengguna jalan raya agar berhemah serta bersopan santun, tidak kira sama ada ketika berada di jalan raya atau tidak.

“Ingatlah, biar lambat asal selamat. Jika berasa letih memandu, rehatlah seketika.

“Bersama-samalah kita sentiasa berwaspada agar selamat sampai ke destinasi masing-masing, bersesuaian dengan tema kempen keselamatan jalan raya tahun ini, iaitu ‘Nyawa Dihargai, Keluarga Menanti, Selamat ke Destinasi’,” katanya. — Bernama