Suasana pilu selubungi sambutan raya keluarga pramugari MH17

0

GEORGE TOWN: Sambutan Aidilfitri tahun ini suram dan hambar bagi keluarga pramugari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, Nur Shazana Mohamed Salleh.

Ibunya, Sharom Ibrahim, 56, berkata keluarga itu tidak beraya tahun ini kerana terlalu sedih dan masih terkejut dengan pemergian arwah.

Nur Shazana, 31, yang bertugas sebagai pramugari MAS sejak sembilan tahun lalu, merupakan antara 15 anak kapal bersama 280 penumpang yang terkorban ketika pesawat MH17 terhempas di Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.

“Tahun ini kami tidak beraya cuma sanak saudara yang akan datang melawat. Saya juga tak sanggup nak memasak kerana teringat akan pesanan arwah untuk memasak juadah kesukaannya pada Hari Raya nanti,” kata Sharom ketika ditemui di kediamannya di Bukit Gedung di sini semalam.

Sharom juga berkata kehilangan arwah amat dirasai keluarga dan adik-beradik kerana arwah seorang yang ceria, pemurah, suka menolong serta penyayang.

“Sekarang yang penting adalah kami mahu jasad anak kami kembali untuk dikebumikan,” katanya dalam nada sebak.

Bapa Nur Shazana, Mohamed Salleh Samsuddin, 54, pula berkata anak sulung daripada empat beradik itu pulang beraya tahun lepas dan beliau tidak menyangka itu merupakan kali terakhir arwah beraya bersama mereka.

Katanya, sambutan Hari Raya tahun ini pastinya sedih dan majlis tahlil akan diadakan untuk arwah.

Mohamed Salleh juga berkata keluarganya belum memutuskan di mana arwah akan dikebumi iaitu sama ada di Tanah Perkuburan Islam Dato Keramat, Sungai Ara atau di Putrajaya. — Bernama