Bantah korek pasir

2

Oleh Nicklos Louis Kaderi //

Penduduk Kampung Litong kepung tongkang pemaju bantah kerja pengorekan pasir di muara Sungai Mukah

KEPUNG: Penduduk Kampung Litong mengepung tongkang milik pemaju terbabit.

MUKAH: Sikap degil pihak pemaju memaksa penduduk Kampung Litong mengadakan bantahan terhadap kerja pengorekan pasir di muara Sungai Mukah di sini semalam.

Zaidi Bujang yang mengetuai bantahan tersebut mengajak penduduk kampung mengepung sebuah tongkang yang sedang melakukan kerja-kerja pengorekan pasir di muara sungai itu.

Difahamkan Ketua Kampung Litong terus membuat laporan polis terhadap perkara berkenaan selepas mengetahui pihak pemaju bertindak meneruskan kerja mereka mengorek pasir.

“Saya telah mengajak penduduk kampung untuk bersama-sama membuat bantahan dan mengepung sebuah tongkang yang sedang menjalankan kerja mereka.

“Selepas kami tiba di kawasan kerja pengorekan pasir tersebut, pekerja di situ memberi kerjasama baik dan segera menghentikan kerja-kerja pengorekan pasir dan mendakwa bahawa mereka hanya menjalankan tugas,” katanya.

Justeru, Zaidi berkata jika pihak pemaju terus menjalankan kerja pengorekan, pihaknya tidak akan teragak-agak melakukan perkara di luar batasan.

“Jangan paksa kami melakukan perkara di luar batasan. Saya harap pihak pemaju dapat memberi kerjasama baik, bukan apa kami hanya mahu kampung kami selamat daripada hakisan sebelum kampung hilang ditelan laut,” katanya.