Cole pertahankan Jamaica

0

Raih emas dalam acara pecut 100m dengan catatan 10.01 saat

GLASGOW, Scotland: Kemar Bailey-Cole meneruskan keunggulan Jamaica dalam acara 100 meter lelaki ekoran ketiadaan rakan sepasukan yang masyhur Usain Bolt di Sukan Komanwel pada Isnin lepas (waktu Scotland) tetapi atlet wanita Nigeria Blessing Okagbare memusnahkan harapan mereka bagi kejuaraan berganda dalam acara pecut.

Bailey-Cole, 22 tahun, bangkit dari permulaan buruk untuk memecut dalam masa 10.01 saat dan pemecut England Adam Gemili menewaskan Nickel Ashmeade dengan tipis untuk menduduki tempat kedua dalam masa 10.10 saat.

Bolt, seorang pemenang pingat Olimpik sebanyak enam kali dan pemegang rekod dunia dalam acara pecut berganda, akan bertanding hanya dalam acara 4×100 m di Glasgow.

“Ia amat bermakna kerana ia adalah pingat individu pertama saya di mana-mana kejohanan. Ia hanya permulaan bagi pingat-pingat individu,” kata Bailey-Cole.

“Matlamat kita adalah untuk datang ke sini dan menang dan itulah apa yang saya lakukan. Saya berkata kepada diri sendiri ‘lelaki-lelaki ini tidak dapat menewaskan saya’.”

Bolt mengucapkan tahniah kepada Bailey- Cole di atas kemenangannya.

“Team Jamaica hingga ke akhir .. tahniah úKemarBaileyCole üGlasgow2014 ügold,” kata Bolt dalam Twitter.

Namun kegembiraan berganda tiada bagi Jamaica dalam acara 100 meter wanita apabila Okagbare mempamerkan larian yang penuh semangat untuk memenangi pingat emas dalam rekod baharu temasya Sukan ini iaitu 10.85 saat.

Bagi Okagbare, kemenangannya adalah satu langkah ke arah memenangi tiga pingat emas Komanwel kerana beliau turut bersaing dalam acara 200 meter dan lompat jauh.

Dua atlet Jamaica Veronica Campbell-Brown dad Kerron Stewart terpaksa berpuas hati masing-masing dengan pingat perak dan pingat gangsa di Hampden Park.

“Catatan terbaik yang baharu pada musim ini dan kemenangan,” kata Okagbare.

“Saya gembira kerana saya dapat mempamerkan persembahan.

“Saya masih ada 200 meter dan lompat jauh dan saya mengalu-alukan kedua-dua cara tersebut sekarang.”

Di padang, atlet Jamaica O’Dayne Richards memenangi acara lontar peluru lelaki dengan rekod temasya Sukan iaitu 21.61 meter manakala atlet Kanada Sultana Frizell mencipta satu lagi rekod kejohanan baharu 71.97 meter untuk mempertahankan kejuaraan lontar tukulnya. — AFP