Kawasan 600 ekar akan dibangun sebagai perumahan moden

0

KUCHING: Sarawak bekerjasama dengan pakar dari Australia bagi menyediakan pelan induk untuk membangunkan satu kawasan kejiranan baharu seluas 600 ekar di Sibu sebagai kawasan perumahan moden.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kawasan kejiranan baharu itu adalah tidak jauh dari Kampung Datu dan akan dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

“Sekarang kita membuat satu perancangan pelan induk untuk kawasan tersebut dan dalam pelan induk ini kita akan mengambil pakar dari Australia yang juga pernah merancang kawasan baharu Darul Hana di sini.

“Kita menggunakan arkitek yang sama serta perancangan yang sama kerana mereka mempunyai kepakaran untuk mencampurkan arkitek tradisi untuk kampung dengan kontemporari dan mereka telah membangunkan kawasan Shanghai, China dan Sydney,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini, semalam.

Tambah Abang Johari, kerajaan memerlukan kepakaran Australia untuk terus mempertahankan perkampungan tradisi di samping menampilkan ciri-ciri moden dalam kejiranan.

Jelasnya kawasan pembangunan itu bukan sahaja kontemporari dan moden tetapi mampu dimiliki masyarakat tersebut khususnya mereka yang mempunyai pendapatan RM3,000 ke bawah.

“Ia juga dilengkapi dengan sekolah, taman rekreasi, komersial dan kawasan riadah yang mencukupi termasuk kemudahan bersukan bagi membangunkan masyarakat di kawasan tersebut,” tegasnya.

Mengulas mengenai perkembangan Kampung Datu Baru, beliau berkata kementerian telah menyediakan lebih kurang 120 lot kepada penduduk khasnya mereka yang telah kehilangan rumah akibat kebakaran pada pertengahan tahun lepas.

“Selain itu kita turut membangunkan rumah baharu sebanyak 33 lot di mana rumah ini akan menjadi rumah contoh.

“Bagi 120 lot ini kita memberi pilihan kepada masyarakat Kampung Datu sama ada mereka mahu membangunkan rumah sendiri atau mereka meminta bantuan daripada kita,” kata Menteri Pelancongan itu.