Malaysia hantar mesej kepada dunia

0

Raya tanpa rumah terbuka tanda sedih, hormati mangsa MH370 dan MH17

KUALA LUMPUR: Pembatalan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2014 anjuran jemaah menteri dan kebanyakan negeri susulan tragedi MH17 dan MH370, menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa Malaysia sedang berduka.

Keputusan membatalkan majlis yang sinonim dengan sambutan perayaan di Malaysia itu dilihat tindakan wajar sebagai menghormati penumpang dan anak kapal kedua-dua penerbangan serta keluarga mereka.

“Kita nak memberitahu dunia bahawa orang Malaysia berduka, orang Malaysia bersedih,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kelmarin berhubung keputusan pembatalan itu yang diumumkan Khamis lepas.

Dalam temu bual bersama Radio24 di Wisma Bernama di sini, beliau berkata: “Ini bukan soal kemalangan tapi jika benar pesawat MH17 ditembak jatuh, ia disifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai dan mereka yang menjadi mangsa itu adalah rakyat kita dan warganegara lain yang tidak berdosa.”

Ahmad Shabery menegaskan kerajaan Malaysia kini bertungkus-lumus untuk  membawa pulang jasad mangsa nahas MH17 ke tanah air selain menyiasat kejadian itu bagi membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Terdahulu, Ahmad Shabery mengunjungi Wisma Bernama untuk meraikan  Aidilfitri bersama warga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang bertugas.

Rumah Terbuka Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada asalnya dijadual berlangsung hari ini. Sebahagian kerajaan negeri antaranya Selangor, Melaka, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan Sabah turut membatalkan rumah terbuka masing-masing.

Selain itu, majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia 2014 di Rembau, Negeri Sembilan anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan juga dibatalkan.

Dalam sokongannya terhadap langkah itu, ahli perniagaan Mohd Izmir Jamal, 53, berkata tragedi berkembar tersebut bukan sahaja meninggalkan kesan terhadap rakyat Malaysia tetapi juga penduduk di seluruh dunia.

“Semua orang dalam keadaan muram. Di kampung saya di Pulau Pinang, keluarga saya meraikan sambutan secara sederhana tidak seperti tahun-tahun sebelum ini apabila Hari Raya disambut secara besar-besaran,” katanya kepada Bernama.

Penolong Pengurus Pemasaran Amelia Yong, 28, pula berkata tragedi yang menimpa MH370 dan disusuli nahas MH17 yang berlaku hanya 11 hari sebelum Aidilfitri, meninggalkan kesan yang tidak akan terpadam kepada negara.

“Memang kurang meriah tahun ini…saya pasti raya ini disambut dalam suasana sedih oleh keluarga dan saudara-mara (penumpang serta kru beragama Islam),” katanya.

Semua 298 penumpang dan anak kapal termasuk 43 rakyat Malaysia terbunuh apabila Penerbangan MH17 milik Malaysia Airlines terhempas di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Pesawat dipercayai ditembak jatuh.

Tragedi ini menyusuli misteri kehilangan Penerbangan MH370 yang membawa 239 orang pada 8 Mac lalu ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Bagi pengurus sebuah fasiliti, Daren Sherman Joshua, 41, keluarga mangsa harus diberi ruang seluas-luasnya untuk berkabung.

“Pembatalan rumah terbuka ini langkah tepat sebagai menghormati mereka yang terkorban dan keluarga yang bersedih, terutama bagi yang terpaksa menyambut hari raya dalam suasana duka,” katanya.

Bagi Exco Pemuda UMNO, Mohd Rafiq Naizamohideen, ia membuktikan kerajaan dan rakyat Malaysia berkongsi kesedihan keluarga mangsa dalam menghadapi situasi sukar itu.

“Lebaran tahun ini harus diraikan secara sederhana bagi mengingati mangsa yang terlibat. Ia juga memberi ruang untuk kita lebih menginsafi diri di sebalik apa yang berlaku,” katanya yang saban tahun menghadiri rumah terbuka anjuran jemaah menteri.

Staf akhbar China Press, Lam Kam Chee, 33, pula berkata rakyat Malaysia harus terus berdoa agar keluarga yang terjejas terus tabah menghadapi ujian itu.

Beliau juga menyarankan agar masyarakat mencontohi langkah yang diambil kerajaan dengan membatalkan rumah terbuka masing-masing sebagai mengenang mereka yang terkorban dalam nahas itu.

Bagaimanapun kata Lam beliau akan menyertai rakan-rakannya yang beragama Islam berkumpul untuk ‘makan-makan’ ala kadar sebagai meraikan Aidilfitri kali ini. — Bernama