Pasukan boling padang sumbang pingat perak

0

GLASGOW, Scotland: Pasukan boling padang Malaysia menambah satu lagi pingat perak kepada jumlah pingat di Sukan Komanwel Glasgow menerusi pasangan lelaki Fairul Izwan Abd Muin/Muhammad Hizlee Abdul Rais pada Isnin lepas (waktu Scotland).

Fairul dan Hizlee tewas kepada pasangan lelaki Scotland Paul Foster/ Alex Marshall 20-3 pada peringkat akhir acara pasangan lelaki di Kelvingrove Lawn Bowls Centre.

Pingat gangsa dalam acara tersebut diperolehi Andrew Knapper/Sam Tolchard dari England.

“Saya mesti akui pasangan Scottish adalah gandingan yang kuat. Mereka mengawal pertarungan dengan baik. Kami menentang mereka buat pertama kali.

“Walaupun kami kecewa kerana tidak dapat memenangi pingat emas, kami tetap gembira kerana menyumbang pingat perak. Bagi saya secara peribadi, ini adalah pencapaian terbaik saya dalam acara pasangan lelaki,” kata Fairul Izwan yang juga kapten pasukan boling padang. — Bernama