Penduduk marah sungai tercemar buangan kilang

0

Oleh Nicklos Louis Kaderi //

Penduduk Dalat berhampiran Batang Oya kecewa, merungut akibat bau busuk yang amat teruk dari sungai berkenaan

TERCEMAR: Batang Oya tercemar hasil daripada sisa kilang yang dibuang terus ke dalam sungai.

DALAT: Penduduk sekitar kawasan Dalat yang berhampiran dengan sungai (Batang Oya) melahirkan rasa kecewa dan merungut akibat bau busuk yang amat teruk dari sungai berkenaan.

Seorang penduduk Kampung Tanam, Gerard Buyong, 59, yang mewakili penduduk  kawasan tersebut berkata penduduk yang tinggal di kawasan sungai merungut dan tidak tahan dengan bau busuk dari sungai tersebut.

Perkara itu jelas terbukti selepas tinjauan Utusan Borneo di kawasan berkenaan semalam mendapati penduduk di kawasan Dalat berhampiran dengan sungai amat kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku terhadap sungai mereka.

Gerard berkata, sungai tersebut berbau akibat daripada bahan buangan yang dibuang dari kilang berhampiran dengan kawasan perkampungan.

“Mereka (pemilik kilang) hanya tahu mengaut keuntungan, tetapi kesan terhadap alam sekitar dan penduduk tidak diambil kira.

“Saya dan penduduk yang lain sudah tidak tahan dengan keadaan kampung yang berbau busuk dari sungai, kami amat kesal dan kecewa dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

“Mereka mahu untung sahaja, mereka tidak pedulikan kesan yang diterima oleh kami, penduduk khasnya yang berhampiran dengan sungai selain memberi kesan terhadap alam sekitar,” katanya.

Justeru, beliau berharap pihak yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar memantau kawasan berhampiran dengan sungai di sini.

“Pihak kilang sudah lama bertapak berhampiran dengan kampung dan selama itu juga mereka membuang sisa kilang ke dalam sungai menyebabkan bau busuk yang teruk.

“Kami penduduk di kawasan ini amat merayu kepada pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan sewajarnya demi keselesaan penduduk kampung,” katanya.