Warga emas OKU rentung

0

BAU: Seorang lelaki warga emas terbunuh selepas dikatakan gagal menyelamatkan dirinya dalam satu kebakaran di Paku, di sini lewat malam kelmarin.

Difahamkan, mangsa Kuan Li Loli, 78, semasa kejadian berada di dalam rumahnya yang terletak bersebelahan sebuah kilang papan iaitu sekitar jam 11.30 malam.

Menurut sumber, dipercayai berlaku lintar pintas di dalam kilang papan tersebut sehingga menyebabkan kilang separuh kekal itu terbakar serta-merta sehingga menyebabkan api merebak ke rumah mangsa.

“Mangsa yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) semasa kejadian tidak sempat menyelamatkan dirinya kerana api merebak dengan cepat memusnahkan keseluruhan bangunan kilang tersebut serta rumah mangsa.

“Sebuah kereta jenis Perodua Kenari milik keluarga pengusaha kilang berkenaan juga dilaporkan terbakar,” kata sumber.

Bagaimanapun, tindakan pantas sepasukan anggota Balai Bomba Bau dan Batu Lintang berjaya mengawal api daripada merebak ke bangunan lain sebaik tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 11.40 malam.

“Kami menerima laporan pada jam 11.40 malam dan jentera pertama dari Balai Bomba Bau tiba di lokasi kejadian pada jam 12 tengah malam.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.43 pagi seterusnya ditamatkan pada jam 1.59 pagi,”kata jurucakap bomba.

Pengusaha kilang berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Voon turut bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai insiden tersebut.

Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.