Budi dibawa mati

0

MAUT:Mayat mangsa diusung masuk ke dalam pikap polis untuk dihantar ke HUS.

Mangsa langgar lari sempat agihkan rambutan, durian kepada saudaranya sebelum ditemui terbunuh di Jalan Mambong-Sarig.

Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Seorang lelaki sempat mengagihkan buah rambutan dan durian kepada saudaranya sebelum dia ditemui terbunuh di Jalan Mambong-Sarig, dipercayai akibat dilanggar kereta awal pagi semalam.

Mangsa ialah Roger Guide berusia 55 tahun dan berasal dari Kampung Mambong.

Difahamkan, mangsa terdahulunya berkunjung ke rumah saudaranya di Kampung Sikog untuk mengagihkan hasil tanamannya seperti buah rambutan dan durian sekitar jam 1 pagi.

“Selepas berbual dengan kami seketika, dia pun berjalan kaki pulang ke rumahnya di Kampung Mambong yang terletak beberapa kilometer dari sini (Kampung Sikog).

“Sekitar jam 5 pagi tadi (semalam), seorang daripada anak saudara saya memberitahu bahawa dia menemui Roger tidak sedarkan diri dengan keadaan kepala berlumuran darah di tepi jalan raya.

“Kami kemudian bergegas ke sana dan kami dapati dia (mangsa) tidak lagi bernyawa,” katanya sambil memberitahu bahawa mereka kemudian terus menghubungi pihak polis dan ambulans.

Mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang bergegas ke tempat kejadian beberapa minit selepas itu.

Sehingga berita ini ditulis semalam, difahamkan, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab berhubung kematian mangsa dan polis masih menyiasat kejadian itu.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.