Jaga kebersihan tandas awam juga semangat patriotisme: Pensyarah

0

Pamer imej baik negara sebab pelancong asing turut guna tandas awam

KUALA LUMPUR: Menjaga kebersihan tandas awam merupakan sebahagian daripada semangat patriotisme kerana perbuatan itu turut menyumbang imej yang baik kepada negara, menurut pandangan pakar akademik.

Pensyarah Fakulti Kemanusiaan, Kesenian dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Saat Awang Damit berkata semangat patriotisme adalah subjektif dan ia bukan sekadar menzahirkan kecintaan kepada negara dengan menghargai sejarah negara, menjadi sukarelawan dalam aktiviti kemanusiaan atau mengibar Jalur Gemilang semata-mata.

“Patriotisme bermaksud nilai murni dan positif dan menolong terhadap tanah air. Ia bukan sekadar bermaksud pergi berperang untuk negara sahaja.

“Menjaga kebersihan tandas awam juga sebenarnya sebahagian daripada patrio-tisme kerana bukan sahaja masyarakat tempatan, namun pelancong asing juga menggunakannya (tandas),” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata sesiapa sahaja seharusnya mampu menjaga kebersihan tandas dan menzahirkan semangat patriotisme itu yang boleh dilakukan di mana dan bila-bila masa sahaja.

Bagaimanapun katanya masih ramai masyarakat yang dilihat memandang ringan soal kebersihan tandas dan meletak sepenuh tanggungjawab tandas awam ke atas tukang cuci, dengan alasan telah menjelaskan bayaran masuk ke sesebuah tandas awam.

Selain itu, Saat berkata ku-rangnya semangat kepunyaan menjadi antara penyebab tandas awam kurang bersih kerana individu tidak meng-amalkan kebersihan seperti di tandas rumah sendiri.

“Jika dilihat, tandas di rumah boleh dibasuh dan tidak kotor, namun amalan ini berakhir di pintu rumah setiap kali keluar.

“Ini berbeza dengan beberapa negara luar, termasuk pengalaman saya di Cape Town (Afrika Selatan) di mana tandas awamnya begitu bersih, mereka cukup menjaga tandas, malah ditulis dengan cogan kata mengenai kebersihan,” katanya.

Sehubungan itu, Saat mencadangkan supaya isu kebersihan tandas awam dijadikan sebahagian ko-kurikulum di sekolah agar nilai murni itu diterap sejak usia muda dan terus dipraktikkan di sekolah.

Statistik Januari sehingga Jun 2013 merekodkan daripada 10,257 tandas awam yang diaudit di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan mendapati hampir 61 peratus daripadanya ber-ada dalam keadaan kurang memuaskan.

Berdasarkan kaedah ‘star rating’ jabatan berkenaan, 2,733 atau 26.65 peratus tandas yang diaudit itu mencapai taraf dua bintang, manakala 2,460 (23.98 peratus) mencapai satu bintang, dan 1,086 (10.59 peratus) langsung tidak layak diberi bintang.

Penceramah bebas Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid pula berkata mentaliti masyarakat berhubung imej tandas awam yang kotor perlu diubah, apatah lagi setiap agama mementingkan penjagaan kebersihan di kalangan penganutnya.

“Tandas awam mencerminkan peribadi individu, dan adalah pelik jika mereka boleh meninggalkan amalan penggunaan tandas yang betul di rumah jika ia sudah sebati dalam diri,” katanya.

Beliau berkata individu yang mengamalkan ‘dwistandard’ dalam isu penggunaan tandas awam dan di rumah, dalam tidak sedar telah menzalimi hak orang lain, memandangkan tandas awam kemudahan yang disediakan untuk kegunaan bersama. — Bernama