MH17: Kerajaan urus logistik bawa pulang mayat

0

SIDANG MEDIA: Rohani (tengah) pada sidang media selepas Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Peringkat Negeri Sarawak di Kuching semalam. — Gambar Kong Jun Liung

Bagaimanapun urusan bawa pulang 43 mayat tersebut mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menguruskan segala logistik bagi membawa pulang mayat mangsa nahas pesawat MH17 dari Amsterdam hingga ke tapak pengebumian.

Bagaimanapun menurut Menterinya Datuk Rohani Abdul Karim semalam, urusan membawa pulang 43 mayat rakyat  Malaysia yang menjadi mangsa nahas pesawat tersebut mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan.

“Saya tidak dapat memberi kepastian bila semua mayat terbabit dapat dibawa balik ke Malaysia kerana pasukan forensik kita di Amsterdam terpaksa akur dengan cara mereka di Belanda bekerja iaitu dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang sahaja.

“Tetapi kami telah diminta untuk menghubungi semua waris terdekat bagi mengetahui bagaimana mayat mangsa hendak diuruskan bagi memudahkan urusan membawa balik mayat selesai urusan mengenal pasti identiti oleh pihak berkuasa di Amsterdam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Peringkat Negeri Sarawak anjuran kementeriannya di Dewan Majma Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini semalam.

Tambah Rohani, hasil daripada interaksi secara dekat dengan waris terdekat mangsa mendapati satu daripada permintaan mereka ialah meminta pengecualian agar keranda mayat tidak ditutup.

Namun menurut Rohani ia sudah menjadi Prosedur Operasi Standard pihak berkuasa Belanda tetapi pihaknya tetap akan cuba menyampaikan hasrat waris terdekat kepada jawatankuasa induk.

“Hari ini saya sepatutnya menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur tetapi tidak dapat menghadiri dan telah menghantar pegawai bersama maklumat yang terperinci.

“Saya akan menyampaikan segala yang dikehendaki oleh keluarga mangsa nahas dari Sarawak kepada jawatankuasa induk untuk dipertimbangkan termasuk semua keluarga mangsa yang lain,” ujarnya.

Ditanya bagaimana jika ada mayat mangsa rakyat Malaysia yang gagal ditemui, Rohani berkata kerajaan akan berusaha sedaya mungkin untuk menemui semua mayat mangsa nahas pesawat MH17 walaupun secebis kecil sahaja.

Jika gagal menemui kesemua mayat mangsa rakyat Malaysia tiada apa yang dapat dilakukan melainkan reda dengan ketetapan Allah kerana sesungguhnya ada hikmahnya di sebalik semua kejadian ini, ujar Rohani.