Sarawak kekurangan guru Pendidikan Islam: Ahmad

0

KGBS menyarankan Kementerian Pendidikan tambah bilangan pengambilan guru bagi mata pelajaran ini

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Kementerian Pendidikan disaran menam-bah bilangan pengambilan guru bagi mata pelajaran Pendidikan Islam di Sarawak.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie ketika menyarankan demikian berkata pengisian guru dalam mata pelajaran berkenaan masih berkurangan bukan sahaja daripada anak tempatan tetapi juga guru dari negeri lain.

“Dari segi pengisian kuota guru di Sarawak, ia tidak begitu serius kini kalau dilihat secara keseluruhan tetapi jika dari segi opsyen sebagai contoh Pendidikan Islam, kadangkala ia menjadi masalah.

“Ini disebabkan di Sarawak kita masih kekurangan guru Pendidikan Islam, sama ada anak tempatan atau dari negeri lain,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di sini, semalam.

Ahmad berkata selain itu antara penyumbang kepada masalah perguruan di Sarawak adalah  ‘salah padan’ penempatan yang tidak mengikut opsyen.

“Misalnya guru Matematik ditempat di sesebuah sekolah tetapi tidak mengajar mata pelajaran berkenaan iaitu mereka mengajar Bahasa Malaysia dan disebabkan salah padan ini kadang-kadang ia menimbulkan masalah dari segi pengisian guru,” tegasnya.

Mengulas lanjut mengenai penempatan guru oleh anak-anak Sarawak sendiri, Ahmad berkata kementerian sememangnya sudah mengambil langkah untuk menambah pengambilan guru-guru pelatih daripada anak tempatan.

Jelasnya kini kohort pertama program berkenaan sudah tamat pada tahun lepas dan akan memasuki kohort ketiga tahun ini.

“Di sini KGBS cuma mencadangkan supaya guru-guru terlatih iaitu anak tempatan yang tamat kursus terus ditempatkan di Sarawak sebelum dihantar ke negeri lain.

“Kita mahu utamakan Sarawak dahulu kerana Sarawak masih memerlukan tenaga pengajar yang muda terdiri daripada anak-anak Sarawak,” katanya.

Menurut beliau, KGBS sehingga kini mempunyai 6,000 ahli dan 14 cawangan di seluruh negeri.