Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera tawar kursus skil animasi

0

SEREMBAN: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Jabatan Perdana Menteri (JPM) menawarkan kursus skil animasi untuk melahirkan pekerja berkemahiran tinggi Bumiputera menjadi pembantu animasi bagi memenuhi permintaan industri kreatif.

Menurut laman sesawang Unit Peneraju Agenda Bumiputera, JPM, (www.teraju.gov.my), program ini menyediakan pensijilan dalam industri, di mana calon akan mendapat kemahiran yang bersesuaian dengan permintaan industri.

Peneraju Skil Iltizam diwujudkan untuk memberi peluang kedua kepada pelajar tercicir atau calon yang mungkin lebih cenderung kepada kemahiran vokasional dan teknikal, berbanding prestasi akademik.

Kursus berlangsung selama enam bulan dan kelas bermula 8 Sept depan di Damansara Perdana, Kuala Lumpur.

Kursus diadakan secara percuma dengan makan, minum, tempat tinggal, pengangkutan dan elaun bulanan disediakan manakala tenaga pengajar adalah daripada industri kreatif.

Antara syarat kelayakan bagi mengikuti kursus tersebut ialah Bumiputera warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan tidak melebihi 21 tahun semasa memohon; pelajar sekolah rendah, menengah dan kolej yang keciciran tetapi mempunyai potensi serta minat; boleh membaca dan menulis; berbakat dalam seni lukis; mempunyai kemahiran asas penggunaan komputer; berkeyakinan dan mempunyai peribadi yang baik serta bebas daripada penyalahgunaan dadah dan alkohol.

Permohonan untuk mengikuti kursus ini kini dibuka dan tarikh tutup permohonan pada 18 Ogos ini.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Nurraziqin Meor Abd Razak di talian 010-2357906 atau Sufadzly Mat Abas (010-2357909) atau pejabat di talian 03-77258085 dan boleh juga e-mail ke [email protected]. — Bernama