Kebakaran Pulau Lakei berjaya dipadam

0

PANTAU: Nor Hisham (kiri) turun padang memantau keadaan kebakaran hutan di Pulau Lakei, Bako, semalam.

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tabuan Jaya semalam berjaya memadamkan kebakaran hutan di Pulau Lakei, Bako dekat sini.

Pengarah JBPM Sarawak Nor Hisham Mohamad berkata, operasi berkenaan diketuai Timbalan Penguasa Bomba Cristus Buson dengan kekuatan lapan anggota bomba serta dibantu empat kakitangan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

“Pemantauan kebakaran di Pulau Lakei, Taman Negara Bako dipadam sepenuhnya pada jam 1 petang.

“Bagaimanpun, punca dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Beliau turut turun padang bagi memantau kebakaran bersama Cristus.

Pulai Lakei di bawah jagaan Taman Negara Bako dan Nor Hisham memberitahu, pulau tersebut bukan kawasan penempatan kecuali hidupan liar.

Sementara itu, keadaan cuaca kering dan berjerebu di negeri ini semalam beransur pulih apabila hujan turun berlaku di beberapa tempat termasuk di Kuching.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar setakat jam 5 petang semalam, kesemua bahagian di negeri ini menunjukkan bacaan IPU berada pada tahap baik dan sederhana dengan Sri Aman mencatatkan yang tertinggi iaitu 88.

Diikuti bahagian Kuching dengan bacaan IPU 72, Samarahan (70), Miri (61), Sibu (56), ILP Miri (55), Sarikei (46), Kapit (44), Bintulu (42) dan Limbang (41).

Bacaan IPU dikategorikan Baik untuk 0-50, Sederhana (51-100), Tidak Sihat (100-200), Sangat Tidak Sihat (200-300) dan Berbahaya (lebih 300).