Penghantaran air masuk peringkat kedua

0

Oleh Mahathir Haroun

 

MESRA: Taib dan Ragad beramah mesra dengan Rohani serta tetamu lain ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman Rohani, semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Penghantaran air terawat ke beberapa buah kawasan di negeri ini memasuki peringkat kedua yang melibatkan lebih 50 buah lori, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata, antara kawasan yang terjejas teruk melibatkan beberapa kawasan di bawah Parlimen Saratok seperti Kabong, Nyabor, Sesang dan Gerigat.

Menurutnya, urusan penghantaran air tersebut dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri menguruskan bantuan air minuman.

“Semalam (Khamis) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri yang diaktifkan memutuskan untuk meneruskan penghantaran air di kawasan terjejas teruk buat kali kedua.

“Saya fikir sekarang lori (50 buah) yang membawa muatan air sudah mula bergerak ke kawasan yang terjejas,” katanya selepas menerima kunjungan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantuan yang diberikan kepada penduduk di kawasan yang terjejas teruk akibat kemarau yang melanda negeri ini.

Menurutnya lagi, setiap kawasan juga mempunyai jawatankuasa khas untuk urusan pengagihan air.

“Jawatankuasa kampung sudah digerakkan dan ketua masyarakat menguruskan pengagihan di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Rohani menjelaskan, Taib juga mencadangkan agar pembenihan awam dilakukan dengan kadar segera.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Rodziah Morshidi berkata, pembenihan awan akan dijalankan di negeri ini terutama melibatkan kawasan kemarau.

Bagaimanapun, menurutnya, kejayaan pembenihan awan bergantung kepada kehadiran jumlah awan.

“Pembenihan awam terpaksa dilakukan untuk menghasilkan hujan memandangkan beberapa kawasan kini mengalami kemarau teruk sehingga menyebabkan ketiadaan air,” jelasnya.