Dahulu gah, kini sunyi dan terbiar usang

0

Tapak Perkelahan Sungai Stras yang popular suatu ketika dahulu perlu diselenggara

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Tapak Perkelahan Sungai Stras di Daerah Bintangor suatu masa dahulu sangat popular di kalangan penduduk, namun kini ia terbiar usang tanpa kelibat pengunjung.

Terletak di Lemayong, Ulu Sungai Bakong, Jalan KJD di Bintangor, tapak itu kini dipenuhi belukar, dibalut semak samun dan kemudahannya serba daif.

Tapak yang dahulunya mampu menarik pengunjung sebagai antara produk pelancongan di daerah itu, kini sunyi sepi, lengang dan terus dilupakan.

Menurut seorang penduduk rumah panjang berdekatan yang enggan dikenali, dahulu tapak perkelahan itu sering dikunjungi bukan sahaja oleh penduduk tempatan, malah ada yang datang dari Sarikei dan Sibu serta kawasan berdekatan termasuk Julau, Kanowit dan Pakan.

“Sungainya yang jernih dan berbatu sangat sesuai untuk aktiviti air, berkelah sambil mengadakan barbeku. Keindahan alam semula jadinya turut menarik perhatian. Paras airnya tidaklah dalam dan sesuai untuk mereka yang ingin belajar berenang. Maklumlah di Bintangor, bukannya ada kolam renang.

“Tidak kira siapa, setiap hujung minggu atau cuti umum tempat ini sentiasa dipenuhi pengunjung. Tetapi kini, semuanya berubah dan segala kemudahan di sini rosak tanpa ada penyelenggaraan,” ujarnya kepada Utusan Borneo, semalam.

Jelasnya, antara kemudahan yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di situ untuk kegunaan pengunjung ialah jambatan gantung, tempat persalinan pakaian, jeti dan sebagainya.

“Beberapa tahun lepas, PBT mempunyai perancangan untuk menjadikan tapak ini sebagai salah satu produk pelancongan dan berjanji menyediakan pusat belajar berenang di situ.

“Namun, tiada kelibat PBT hadir untuk menunaikan janji dan rancangan mereka sehingga ke hari ini. Tapak ini sudah lama terbiar begitu sahaja,” katanya.

Lebih menarik, ujarnya, tapak itu mempunyai sebuah jambatan gantung yang merupakan satu-satunya jambatan gantung di Daerah Bintangor.

Jambatan itu, katanya lagi, menghubungkan Rumah Michael Chua sebagai jalan pintas ke sebuah kantin berdekatan.

“Namun, jambatan gantung itu sudah usang walaupun ia masih digunakan. Walaupun ia sangat berbahaya, tetapi kami tiada pilihan untuk ke kantin membeli barang-barang keperluan. Ada alternatif lain iaitu menggunakan jalan besar (Jalan KJD) tetapi ia jauh,” jelasnya.

Beliau berkata, jika seseorang terjatuh dari jambatan gantung itu, ia mungkin boleh mendatangkan kecederaan atau meragut nyawa kerana dasar sungai yang cetek itu dipenuhi batu-batu besar.

“Setakat ini, belum ada kes jatuh dari jambatan tersebut. Namun, kita memohon kerjasama pihak berkenaan agar mengatasi segala masalah di tapak ini sebelum berlakunya apa-apa kejadian tidak diingini. Kata pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’,” katanya.

Beliau menambah, sebelum ini beberapa penduduk telah mengemukakan aduan kepada PBT berkenaan, namun sehingga ke hari ini masih belum ada sebarang jawapan dan tindakan diambil.

Sementara itu, aduan penduduk selama ini menerima maklum balas dari Jawatankuasa Kerja Impian Rakyat Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Ting Tze Fui.

Ting bersama ahli jawatankuasanya telah meninjau keadaan di tapak itu, baru-baru ini.

“Melalui Jawatankuasa Kerja Impian Rakyat DAP, kami akan menyelenggara tapak ini disebabkan PBT yang berkenaan tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

“Kami akan meminta kebenaran daripada pihak yang berkenaan untuk mengizinkan kami membaik pulih kemudahan yang terdapat di tapak tersebut.

“Ini penting bagi kita menghidupkan semula nama Tapak Perkelahan Sungai Stras yang sangat popular suatu ketika dahulu. Selain itu, kita mengambil soal kepentingan dan keselamatan penduduk setempat khususnya yang masih menggunakan jambatan gantung di situ,” katanya semasa dihubungi.