Kaji selidik portal berita tidak tepat: Abdul Karim

0

KUCHING: Kaji selidik atas talian yang dijalankan sebuah portal berita yang menunjukkan semakin ra­mai rakyat Malaysia Timur mahu Sarawak dan Sabah meninggalkan Persekutuan Malaysia disifatkan sebagai berat sebelah.

Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tinjauan itu yang hanya disertai indi­vidu-individu tertentu tidak mewakili suara orang ramai secara keseluruhan.

“Bagi saya, tinjauan itu tidak tepat dan tidak adil un­tuk menyiarkannya bagi men­gatakan penduduk Sarawak dan Sabah mahu keluar dari Malaysia. Kenapa pada pili­han raya baik negeri mahupun Parlimen, kita menang mudah padahal rakyat turut mempu­nyai peluang bersuara pada pilihan raya.

“Sebaiknya, portal berita itu perlu melakukan tinjauan di setiap konstituensi, tanya pendapat 50 orang hingga 100 orang di setiap konstituensi dan saya yakin, keputusan kaji selidik itu sudah tentu berbeza daripada sebelumnya,” ka­tanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Jalan Astana di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan portal ber­ita atas talian, ‘The Malaysian Insider’ berhubung pungutan suara yang menunjukkan trend rakyat Malaysia Timur kini semakin bergolak, den­gan kebanyakan penduduk bandar Sarawak bercakap secara terbuka mengenai idea meninggalkan Malaysia.

Dalam laporan tersebut, tinjauan terhadap 100 orang di Malaysia Timur mend­edahkan 72 peratus daripada rakyat Sarawak berasa men­inggalkan Persekutuan Ma­laysia adalah pilihan terbaik, dengan hanya 14 peratus di Sabah bersetuju.

Undian itu turut mend­edahkan perasaan curiga dan kekecewaan yang masih wujud di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak setengah abad selepas Perse­kutuan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963.

Abdul Karim turut menyi­fatkan laporan itu dapat me­mecahbelahkan perpaduan dan keharmonian yang telah lama terjalin di negara ini.

“Saya difahamkan tinjauan itu berdasarkan 100 orang, iaitu 50 orang dari Sarawak dan sebahagian lagi dari Sarawak dan siapakah 50 in­dividu dari Sarawak itu?

“Jika mereka memilih orang-orang dari Asajaya menyertai tinjauan itu, saya pasti jawapan diterima ber­beza,” jelasnya.

Beliau berkata, tidak mus­tahil individu di sebalik kaji selidik itu mempunyai agenda tersendiri.

“Saya percaya terdapat agenda di sebalik komen-komen sedemikian, mungkin mereka cuba melaga-lagakan negeri ini dengan kerajaan persekutuan. Ini merupakan satu trend yang tidak sihat,” katanya.