KM ikrar Sarawak bebas elemen ektremis

0

SELAMAT HARI RAYA: Adenan (empat kiri) bersama tetamu kehormat lain memotong kek tanda simbolik perasmian Majlis ‘Melanggar Meja’ di Pekan Bekenu, petang semalam.

Rakyat harus kekal kebaikan, menjaganya demi kemakmuran, keharmonian: Adenan

Oleh Steve Annuar //

BEKENU: “Saya akan meng­gunakan kuasa imigrasi menahan orang ini, mereka yang bersifat perkauman, pelampau agama dari da­tang ke negeri ini!”

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem yang mahu membebaskan Sarawak dan rakyatnya dari­pada dicemari pemikiran golongan berkenaan.

“Mereka lebih baik keluar dan tidak datang terus!” tegas beliau pada Majlis ‘Melang­gar Meja’ Aidilfitri Parlimen P.218 Sibuti di Gelanggang Terbuka Majlis Daerah Subis, Pekan Bekenu di sini, petang semalam.

Adenan berkata, beliau tidak mahu elemen ektremis yang sekarang menular di Semenanjung Malaysia meng­ganggu gugat keharmonian dan perpaduan kaum yang selama ini menjadi kebang­gaan rakyat Sarawak.

Beliau juga tidak mahu keselamatan Sarawak tergu­gat kerana anasir-anasir luar yang tidak selari dengan corak kehidupan rakyat, katanya.

“Elemen ini (ektremis) tidak pernah kita dengar di Sarawak. Kita tidak mahu mereka datang mengacau,” jelasnya.

Menurut Adenan, rakyat harus mengekalkan kebaikan yang dinikmati selama ini dan terus menjaganya demi kemakmuran dan keharmo­nian.

“Kita di Sarawak memiliki pelbagai bangsa, agama, bu­daya, keturunan, tetapi kita dapat hidup satu sama lain dengan aman sentosa. Kerana kita di Sarawak, sama makan, sama minum dan tidak ber­kelahi. Itulah sebabnya saya tidak mahu orang yang mem­punyai pemikiran ekstremis datang ke negeri Sarawak,” katanya.

Adenan memberitahu, walaupun telah berusia 70 tahun, beliau masih kuat berkhidmat untuk memas­tikan rakyat dan negeri Sarawak terus membangun dan bebas daripada anasir ektremis.

“Saya akan terus berkhid­mat sejauh yang saya boleh, setakat yang saya mampu,” jelasnya.