Gaza: Boikot dengan ilmu, bukannya emosi

0

Tindakan haruslah bersandarkan adab supaya tidak menyakiti orang yang tidak bersalah  

KUALA LUMPUR: Dalam mengecam keganasan rejim Zionis ke atas penduduk Palestin khususnya di Gaza, rakyat Malaysia tidak terkecuali memainkan peranan melalui tindakan memboikot produk-produk dan jenama yang dikaitkan dengan Israel.

Bagaimanapun, mutakhir ini terdapat beberapa tindakan yang dilihat keterlaluan oleh segelintir pihak yang memboikot termasuklah merendah-rendahkan golongan yang tidak menyertai usaha mereka, serta ada juga perlakuan buruk seperti memarahi dan meludah pekerja restoran yang diboikot itu.

Timbul persoalan di manakah kewajaran perbuatan buruk seumpama itu sedangkan tujuan asalnya adalah untuk bersama-sama membentuk solidariti bagi membantu umat Islam di Gaza yang ditindas rejim Zionis.

“Perbuatan itu semua bertentangan dengan ajaran Islam. Sedangkan pada zaman Rasulullah SAW juga berlaku urusan muamalat antara Nabi dan golongan Yahudi meskipun baginda mengetahui niat golongan itu mahu membunuh baginda,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu) Ahmad Fazrin Yahaya ketika dihubungi Bernama.

Katanya sehingga kini masih belum ada ketetapan bahawa tindakan memboikot produk yang menyumbang kepada Zionis itu sebagai sesuatu yang wajib dilaksanakan.

“Sebagai umat Islam, kita tidak diajar menzalimi orang atau membalas kezaliman dengan kezaliman. Kekerasan hanya dibenarkan dalam peperangan,” jelas Ahmad Fazrin.

Berita-berita ‘kurang enak’ mengenai usaha mengecam rejim Zionis kini banyak menghiasi laman-laman media sosial kelmarin termasuklah mengadakan ceramah di hadapan restoran makanan segera.

Selain itu, ada juga laporan mengenai tindakan seorang pemuda makan makanan yang dibeli di luar dengan sengaja di dalam restoran berkaitan sehinggalah kepada perbuatan meludah pekerja di sebuah kafe terkemuka oleh individu-individu yang kononnya memperjuangkan nasib penduduk Gaza.

Ahmad Fazrin berkata usaha memboikot haruslah dilaksanakan secara berilmu dan bukannya mengikut emosi atau sentimen, yang akhirnya menjurus kepada perbuatan-perbuatan yang tersasar dari syariat Islam.

“Kalau nak boikot jangan sampai melampau. Kononnya nak tunjukkan kita Islam tapi sebenarnya perlakuan zalim itu tidak jauh berbeza dengan Zionis yang sedang membunuh anak-anak Palestin. Walaupun perbuatan kita tidaklah sampai ke tahap itu,” katanya.

Pendakwah terkenal, Ustaz Hassan Mahmud Al-Hafiz pula berkata usaha boikot boleh dilakukan bagi memberi pengajaran kepada pihak yang menganiaya sesuatu pihak yang lain.

Bagaimanapun, katanya, setiap tindakan yang diambil itu haruslah bersandarkan adab dan budi pekerti supaya tidak menyakiti orang yang tidak bersalah.

“Buatlah ikut kemampuan. Tapi haruslah bersabar (dengan orang yang tidak mengikut usaha boikot). Apa yang ada sekarang ini telah lama berakar umbi dalam masyarakat, dalam negara. Jadi mustahil untuk dibuang serta-merta,” katanya.

Hassan turut menasihatkan golongan yang memilih jalan untuk memboikot agar tidak menaruh syak wasangka kepada pihak-pihak lain yang tidak menyertai usaha mereka.

“Cara menegur dan mengajak mereka juga tidak boleh dengan berkeras. Hendak menegur kena ada adab dan caranya supaya boleh diterima. Tunjukkanlah kemesraan, barulah berkesan,” katanya.

Serangan tentera Israel ke atas Gaza sejak 8 Julai lepas dilapor mengorbankan lebih 1,800 nyawa setakat ini termasuk wanita dan kanak-kanak, serta menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.

Sejajar dengan itu, gesaan memboikot produk-produk keluaran syarikat yang menyokong kekejaman rejim Zionis dibuat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) negara ini bagi memberi tekanan kepada ekonomi negara tersebut. — Bernama