Pegawai MARA di luar negara perlu main peranan lebih inklusif: Annuar

0

KUALA LUMPUR: Pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang bertugas di luar negara perlu memainkan peranan yang lebih inklusif dalam usaha merealisasikan visi dan misi agensi itu di peringkat global.

Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa berkata, peranan inklusif itu termasuklah berusaha untuk meneroka peluang dalam sektor pelaburan dan keusahawanan MARA di luar negara.

Katanya, mereka juga harus mengubah orientasi perkhidmatan dan bukan sekadar menjaga kebajikan pendidikan pelajar tajaan MARA sahaja.

“Secara umumnya kebanyakan pegawai-pegawai MARA ke sana dengan pemikiran sebagai pegawai yang akan menjaga kebajikan pelajar. Kebanyakannnya ialah bersifat lebih kepada pegawai pelajaran MARA.

Jadi ini mestilah diubah kerana mereka bukan pegawai pelajaran MARA di luar negara tetapi sebagai pegawai atau pengarah MARA yang bertindak menjadi duta kecil MARA yang akan membawa segala fungsi MARA yang boleh dimainkan di peringkat global,” katanya pada sidang media sebelum menyampaikan amanat sempena Persidangan Pengarah MARA Luar Negara 2014 di sini, semalam.

Annuar berkata sehubungan itu MARA akan meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) baharu terhadap pegawai dan pengarah MARA di luar negara supaya peranan yang disarankan itu dapat dimainkan dengan lebih efisien dan efektif.

Katanya MARA dilihat berjaya dalam bidang pendidikan namun belum boleh mendabik dada untuk sektor pelaburan dan keusahawanannya di peringkat global.

“Sedikit sekali usahawan-usahawan MARA yang boleh kita tunjukkan mereka berjaya di peringkat global sedangkan moto kita keusahawanan dan pendidikan global,” katanya.

Annuar berkata MARA mempunyai lapan pusat pentadbiran di luar negara iaitu di Amerika Syarikat (Washington), Ireland (Dublin), United Kingdom (London), Rusia (Moscow), Jerman (Frankfurt), Mesir (Iskandariah), Indonesia (Jakarta) dan Australia (Sydney).

Beliau berkata pegawai MARA yang bertugas di luar negara itu perlu mencari peluang mewujudkan jalinan kerjasama pendidikan antara institusi pengajian tinggi di bawah kendalian agensi itu dengan universiti terbaik di negara tersebut untuk tempoh jangka masa panjang.

Beliau berkata MARA akan menyemak semula keperluan kakitangan sokongan pejabat MARA dalam negara dan luar negara supaya fungsi pejabat Mara di luar negara benar-benar terlaksana.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata sehingga 30 Jun lepas MARA telah menaja 9,460 pelajar yang mengikuti pengajian di luar negara dalam pelbagai bidang di peringkat Ijazah Pertama, Sarjana, Doktor Falsafah dan Profesional.

Katanya pada penghujung Ogos nanti seramai 1,432 pelajar tajaan MARA akan berlepas ke luar negara bagi menyambung pengajian di 15 buah negara terpilih.

Daripada jumlah keseluruhan pelajar yang akan berlepas itu seramai 1,117 pelajar peringkat Ijazah Pertama, 263 pelajar Sarjana, 23 pelajar peringkat Profesional dan 29 pelajar peringkat Doktor Falsafah. — Bernama