14,000 pengguna di Simunjan alami masalah gangguan air

0

SIMUNJAN: Seramai 14,000 pengguna dengan 2,500 meter sambungan daripada Loji Rawatan Air Simunjan di sini meng-alami masalah gangguan air termasuk tekanan rendah ekoran penurunan paras air pada tahap kritikal dan hampir kering di kawasan tadahan loji tersebut.

Ekoran itu, Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memaklumkan bahawa pihaknya telah meng-arahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi terlibat menghantar air kepada penduduk yang terjejas.

Penghantaran tersebut juga termasuk ke kawasan yang tidak mempunyai akses jalan raya, jelasnya.

Dalam pada itu, Awang Tengah memberitahu, langkah jangka panjang bagi mengatasi kekurangan bekalan air pada musim kemarau di Simunjan adalah dengan membesarkan Loji Rawatan Air Slabi di Serian.

“Cadangan projek dengan jangkaan kos bernilai RM21 juta itu termasuk menaik taraf dan pemulihan Loji Rawatan Air Slabi.

“Selain itu, kami akan membina saluran paip se-panjang 4.8 kilometer (km) dari Slabi ke Rasau selain penyambungan paip 300 mm (sepanjang 12.4km) bagi menghantar air dari KM6.5 Jalan Gedong ke KM18.9 di Jambatan Sungai Skarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat loji rawatan air di Simunjan, petang semalam.

Menurutnya, apabila Loji Rawatan Air Slabi siap ia akan dapat menyalurkan 73 juta liter sehari (MLD) bagi memenuhi permintaan air dari Gedong hingga Simunjan.

“Untuk rancangan jangka panjang lain, kawasan Simunjan bakal mendapat saluran air daripada Lembaga Air Kuching (KWB) apabila projek menaik taraf dan pemulihan Loji Rawatan Air Batu Kitang No.3 siap pada 2017 nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Awang Tengah menegaskan bahawa pembinaan Empangan Bengoh juga penting untuk disiapkan terutama dalam situasi kemarau kerana ia mampu menyimpan jumlah air yang banyak.

“Jika ada kemudahan tetapi tiada air untuk disalurkan juga tidak berguna.

“Untuk itu, pembinaan Empangan Bengoh sangat penting kerana ia mampu menyimpan 114 juta meter padu air dan mempunyai kawasan tadahan seluas 127 km persegi,” katanya.

Kapasiti Loji Rawatan Air Simunjan ialah 5MLD yang mendapat sumber air daripada Sungai Lepong.

Paras air biasa pada ambilan pam di loji tersebut adalah sebanyak 6.8 meter dan pada musim kemarau sejak Jun lalu ialah 0.3 meter.

Turut menyertai lawatan tersebut ialah Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Datuk Sylvester Entri Muran dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais.

Terdahulu, Awang Tengah bersama rombongan berkesempatan menghadiri Majlis Ramah-Tamah Ai-dilfitri Peringkat Kampung Keleka, Simunjan di kediaman Kaunselor Awla Deris.