Pentas terbaik pamer kehebatan

0

JADI REBUTAN: Paruwadi (kanan) menyerahkan piala pusingan kepada Ismail (kiri) bersama (dari dua kanan) Musaddat dan Kamaruddin.

Pertandingan Sepak Takraw Terbuka Piala dP edisi ke-2 bakal berlangsung pada 16-17 Ogos

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Mereka yang berminat untuk menyertai Pertandingan Sepak Takraw Terbuka Piala dP edisi ke-2 perlu menghantar permohonan dengan segera bermula hari ini kerana hanya 32 regu dibenarkan untuk mengambil bahagian.

Pengerusi kejohanan Ismail Ebrahim berkata penetapan jumlah penyertaan itu telah diputuskan oleh jawatankuasa penganjur semasa mesyuarat kejohanan yang diadakan semalam.

“Jawatankuasa penganjur menetapkan hanya 32 regu dibenarkan mengambil bahagian pada edisi kali ini atas alasan faktor kesuntukan masa dan kekurangan tenaga penganjur,” katanya semalam.

“Justeru, saya menggesa mereka yang berminat agar menghantar borang penyertaan secepat mungkin kerana tempat adalah terhad.”

Setiap regu dikenakan yuran sebanyak RM50 dan penganjur menegaskan pihaknya tidak akan melayan permohonan melalui panggilan telefon.

Format pertandingan kekal seperti edisi pertama pada tahun lepas dengan mengg nakan peraturan ISTAF.

Menurut Ismail, pertandingan yang akan diadakan pada 16-17 Ogos itu akan berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Tabuan Lot.

Pemenang bakal menggondol RM500, piala pusingan, piala iringan dan pingat manakala hadiah kedua akan membawa pulang RM300.

Bagi hadiah ketiga dan keempat bersama, pemenang bakal menerima RM200 bagi setiap regu.

Tarikh tutup penyertaan dan cabutan undi akan pada 15 Ogos.

Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Ismail (016- 8080504), Musaddat Ajim (010-9743403) dan Kamaruddin Kachi (016-8592351).

Sementara itu, penaja kejohanan Datuk Dr Paruwadi Musa menjangkakan saingan menarik dari kesemua regu yang akan turut serta pada saingan kali ini.

“Ini adalah pentas terbaik bagi pemain sepak takraw tempatan mempamerkan kebolehan masing-masing untuk kita nilai dan diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi nanti,” jelas Paruwadi yang juga Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) semalam.

“Saya harap regu tempatan dari sekitar Kuching dan Samarahan tidak akan melepaskan peluang ini untuk turut serta.”