Proses bawa pulang jenazah mungkin berperingkat

0

PERSIAPAN: Hishammuddin melihat skrin raptai istiadat tentera semasa mempengerusikan mesyuarat Persiapan Menyambut Jenazah mangsa tragedi MH17 di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

Ini adalah atas sebab faktor siasatan, permintaan keluarga

KUALA LUMPUR: Proses membawa pulang jenazah mangsa tragedi MH17 dari Amsterdam mungkin perlu dilakukan secara berperingkat atas faktor siasatan dan permintaan keluarga.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata walaupun kerajaan berhasrat melakukannya secara serentak tetapi proses serta kesukaran mengecam jenazah memungkinkan ia tidak dapat dilaksanakan.

“Daripada awal lagi kita beri keutamaan kepada permintaan keluarga dan sebab itu apabila Amsterdam telah mengenal pasti mayat-mayat, barulah kita akan membuat keputusan sama ada akan membawa pulang secara beramai-ramai atau berasingan.

“Dalam hal ini, kerajaan memahami kesedihan anggota keluarga mangsa…kita akur dan fahami perasaan itu kerana ada antara mereka tidak mahu terdedah kepada liputan meluas mengenainya,” katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Koordinasi Persediaan Pelaksanaan Istiadat Penerimaan Jenazah Warganegara Malaysia Tragedi MH17, beliau berkata faktor kaum, agama, budaya dan latar belakang mangsa juga diambil kira dalam menguruskan kepulangan jenazah.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri-Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Dr Wee Ka Siong.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Malaysia Airlines (MAS) telah dipertanggungjawabkan untuk membawa pulang jenazah warga Malaysia dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, manakala untuk pengangkutan domestik pesawat tentera diarahkan bersiap sedia untuk sebarang keperluan.

Berhubung prosedur memberi penghormatan khas oleh rakyat kepada semua mangsa yang dibawa pulang, Hishammuddin berkata perkara itu ada dibincangkan, namun keputusan mengenai bagaimana rakyat akan dilibatkan hanya akan diputuskan kerajaan pada mesyuarat kabinet Rabu depan.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang melibatkan tentera dalam siasatan di lokasi nahas berikutan ancaman keselamatan kepada kumpulan penyiasat, beliau menegaskan perkara itu bukan satu keperluan ketika ini.

“Perkara itu tidak perlu kerana buat masa ini siasatan masih di bawah bidang kuasa polis, namun perkara ini telah dibincangkan dengan kerajaan Belanda dan Australia.

“Jika tentera dilibatkan seluruh landskap akan berubah. Kita tidak patut hilang fokus, semua usaha perlu dilakukan untuk mendapatkan mayat,” kata Hishammuddin.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata laporan siasatan berkaitan data awal dari kotak hitam pesawat MH17 dijangka akan didedahkan minggu depan.

Sambil menyifatkan siasatan yang dijalankan berjalan dengan baik, beliau berkata data yang diperoleh itu sangat berguna dalam membantu menentukan bagaimana tragedi itu berlaku sehingga menyebabkan 298 orang terkorban.

Penerbangan MH17, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas – dipercayai ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai.

Sebanyak 43 warga Malaysia antara penumpang dan anak kapal pesawat itu. — Bernama