Penjual dabai dakwa ditipu

0

BETONG: Pasangan suami isteri yang dipercayai pemborong buah-buahan dan hasil tani penduduk rumah panjang di kawasan Skrang di sini menjadi buruan penduduk tempatan kerana didakwa menipu.

Si suami yang berasal dari Sarikei dan isterinya, Ida, dituntut datang untuk menjelaskan baki wang hasil jualan dabai kepada penduduk tempatan sebelum laporan polis dibuat.

Menurut mangsa, pasangan suami isteri itu datang menggunakan van berwarna putih untuk memborong dabai daripada penduduk di situ dengan harga RM1,000.

Namun, pasangan itu hanya dapat membayar RM400 dan berjanji akan melunaskan baki wang kepada penduduk dalam tempoh seminggu.

“Mereka datang membeli dabai dan memborong daripada penduduk di sini dengan harga yang kami tetapkan iaitu RM1,000 untuk jumlah yang diambil.

Ketika itu, pasangan penipu ini cuma ada wang RM400 tetapi ingin mendapatkan semua dabai kami dan berjanji akan membayar balik baki wang kepada kami.

“Mulanya kami tidak bersetuju, tetapi (akur selepas) melihatkan beliau sanggup mengeluarkan kad pengenalan sebagai bukti dan berjanji akan membayar baki dalam tempoh seminggu dari tarikh tersebut atau pada bila-bila masa mereka datang dalam tempoh tersebut,” kata mangsa di sini semalam.

Namun, tempoh yang dijanjikan telah berlalu menyebabkan mangsa berang dan ingin membuat laporan polis.

Mangsa juga cuba menghubungi melalui nombor telefon yang diberi namun sehingga semalam nombor itu tidak lagi berfungsi.

Bagi mangsa, kes itu merupakan satu penipuan terhadap mereka yang mengharapkan hasil jualan mereka laris untuk menjana wang perbelanjaan.