Cadangan pembinaan Jambatan Merebong sudah dikemukakan

0

ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa memberitahu bahawa cadangan pembinaan Jambatan Merebong, Engkilili kini sudah dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Menurut beliau, cadangan pembinaan jambatan itu sudah diajukan kepada pihak atasan untuk mendapatkan kelulusan.

Sehubungan itu, sekiranya  jambatan itu berjaya dibina nanti ia akan memberi keselesaan kepada penduduk di kawasan Merebong, Bukit Tungku, Kelampu serta masyarakat sekitar.

“Jambatan itu juga akan memberi keselesaan kepada guru-guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Merebong dan penduduk sekitar pekan Engkilili,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Ambon, Merebong di sini kelmarin.

Menurutnya, pelan cadangan kemudahan tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan pergantungan penduduk kepada pengunaan jambatan biasa yang hanya dapat dilalui motosikal.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Rayong turut memaklumkan bahawa penduduk Rumah Merebong dan Bukit Tungku bakal menikmati kemudahan elektrik 24 jam tidak lama lagi.

“Saya berharap penduduk di kawasan DUN Engkilili terus berjuang bersama kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk pembangunan rakyat,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Rayong mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Ambon dan RM5,000 untuk Biro Wanitanya.