Wednesday, December 7

Pelbagai dasar, program dilaksana untuk perkukuh, tingkat daya saing industri koko

0

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai dasar dan program untuk memperkukuh dan meningkatkan daya saing industri koko negara.

Dasar dan program ini menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan melibatkan pelbagai aspek.

Antaranya, pembangunan jaringan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemodenan industri serta penghasilan produk-produk nilai tinggi bagi memenuhi keperluan pasaran.

Di samping itu menurut Uggah, pelbagai program juga dijalankan untuk membantu para petani koko termasuk penyediaan insentif bagi pemulihan tanaman koko yang kurang produktif, penanaman koko di kawasan terbiar serta perluasan kawasan tanaman baharu koko.

“Usaha-usaha mempergiatkan pengeluaran biji koko ini dijangka akan memperkukuhkan lagi prestasi Malaysia sebagai pengisar koko terbesar di rantau Asia Pasifik dan kelima terbesar di dunia selepas Belanda, Ivory Coast, Amerika Syarikat dan Jerman.

“Produk-produk koko Malaysia seperti mentega koko, serbuk koko, pes koko, coklat dan konfeksioneri berasaskan koko kini dieksport ke lebih 100 negara.

“Antaranya Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, China dan negara-negara di Asia Tenggara.

“Sehubungan itu saya menggesa para pengusaha sama ada di sektor huluan atau hiliran memainkan peranan masingmasing untuk menjayakan segala dasar dan program tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Latihan Fasilitator (TOF) Projek Keselamatan Koko Wilayah Sarawak yang berlangsung di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko Lembaga Koko Malaysia (LKM) di sini, semalam.

Mengulas mengenai program tersebut Uggah berharap ia dapat memberi pengetahuan dan kepakaran yang diperlukan bagi memperbaiki amalan di sepanjang rantaian bekalan di kalangan para pekebun kecil.

Ini penting bagi memastikan pematuhan piawaian antarabangsa mengenai keselamatan makanan yang merangkumi pelbagai isu dan cabaran.

“Saya berharap program latihan ini akan dapat memberi manfaat dan meningkatkan pengetahuan terutama para pekebun kecil mengenai penggunaan racun perosak secara sistematik dalam pengurusan lapangan.

“Selain mengurangkan kemungkinan sumber pencemaran, peserta juga dapat mengetahui mengenai peraturan, perundangan dan piawaian dari negara-negara lain terutama negara pengimport koko.

“Secara tidak langsung ia akan memberi panduan mengenai keperluan dalam pematuhan untuk mengeksport produk koko dan mengurangkan kemungkinan produk tidak diterima di pasaran import,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Himmat Singh dan Ketua Pengarah LKM Dr Lee Choon Hui.