Perlu lebih efektif dan fokus

0

Oleh SITI AISYAH NARUDIN //

Saranan kepada semua anggota polis  kontinjen Sabah

JALALUDDIN (tengah) menyaksikan simbolik penyerahan tugas antara Shariff (kanan) kepada Salehhudin (kiri) pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Pasukan polis di negeri ini diingatkan supaya lebih efektif dan fokus dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, setiap anggota terutamanya pegawai penyiasat (IO) perlu bersedia untuk bekerja di luar waktu pejabat bagi memeriksa kertas-kertas siasatan (IP) yang terbengkalai.

Katanya, kualiti siasatan hendaklah diberikan tumpuan kerana dikhuatiri jumlah siasatan kes semakin hari semakin merosot.

“Saya risau sasaran lebih 35 peratus Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi kes pertuduhan tidak akan tercapai ekoran banyak kes yang disiasat tidak dapat dibawa ke mahkamah.

“Anggota yang malas dan tidak ada inisiatif untuk bekerja di luar waktu pejabat akan menyebabkan kualiti siasatan polis kontinjen Sabah merosot.

“Bagi saya, IP kontinjen Sabah tidak banyak jika dibandingkan dengan polis kontinjen lain. Hanya empat daerah yang menonjol kadar jenayahnya iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Tawau dan Lahad Datu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) dan Timbalan KJSJ (Siasatan dan Perundangan) Kontinjen Sabah, di sini kelmarin.

Jalaluddin berkata, bagi daerah lain, IO perlu meneliti semua IP yang terbengkalai dan tertangguh untuk semakan.

Menurutnya, bagi IP ‘panas’ yang menarik perhatian, kes berprofil tinggi serta yang melibatkan pegawai dan anggota perlu diselesaikan secepatnya.

Selain itu, pihaknya turut risau pengurusan barang-barang kes tidak diselenggara, diperiksa, didaftar, ditandakan, serta tidak diketahui pemilik barangan terbabit.

“Pemeriksaan barang-barang kes sepatutnya dibuat setiap dua bulan sekali dan apabila kes selesai, barang kes hendaklah dipulangkan semula kepada pemiliknya.

“Jangan simpan barang kes kerana ia bukanlah hak kita,” katanya sambil menyarankan supaya menubuhkan pasukan penguatkuasa bagi melihat kes Dibebaskan Tanpa Dilepaskan Tuduhan (DNAA).

Pada majlis itu, mantan Pemangku KJSJ Kontinjen Sabah Senior Asisten Komisioner Shariff Abd Wahid menyerahkan tugas kepada KJSJ yang baharu Senior Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman.

Sebelum ini, Salehhudin bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Melaka manakala Shariff dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) negeri Kedah.

Shariff yang juga mantan Timbalan KJSJ (Siasatan dan Perundangan) Kontinjen Sabah turut menyerahkan tugas kepada Timbalan KJSJ (Siasatan dan Perundangan) baharu Asisten Komisioner Jauteh Dikun yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu.