Tergamam lihat rumah musnah

0

Oleh RUZAINI ZULKIFLI

KELIHATAN sepasukan anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran.

KOTA KINABALU: Seorang kakitangan kerajaan hanya mampu tergamam selepas menyaksikan kediaman milik keluarga yang dihuninya musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Souk Batu, Jalan Kepayan Lintas, dekat sini petang kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Aidil Ullap, 37, berkata ketika kejadian dia sedang berada di pejabatnya yang terletak di pusat bandar sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon oleh jiran dan sanak saudaranya berhubung insiden berkenaan.

Menurut mangsa, dia baharu sahaja menduduki rumah jenis dua tingkat berkenaan kira-kira setahun lalu selepas diterima bekerja di sektor awam di sini sebelum kebakaran itu berlaku.

Turut musnah adalah sebuah kenderaan jenis Honda Charade yang dimiliki oleh abang mangsa yang dipercayai terkena serpihan runtuhan kayu dalam kebakaran itu.

“Selepas menerima panggilan itu, saya kemudiannya bergegas pulang ke rumah dan sebaik tiba, saya hanya dapat menyaksikan rumah hangus dimamah api.

“Mujur tiada sesiapa berada di rumah yang dimiliki oleh datuk kami itu memandangkan abang saya kini berada di kampung halaman di Tenom,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Kejadian jam 2.15 petang itu juga difahamkan mengakibatkan beberapa pekerja sebuah stesen minyak Petronas yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kebakaran terpaksa bertempiaran lari dan meminta bantuan kerana khuatir api merebak ke kawasan berhampiran.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah Mohammad Affendy K Ramin berkata, dua jentera dengan kekuatan anggota 18 anggota digegaskan ke lokasi insiden.

“Sejurus menerima panggilan, kita telah bergegas ke tempat kejadian dan berjaya mengawal serta memadamkan api daripada merebak ke kawasan berhampiran.

“Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian ini,” katanya.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.