Lapan terima Anugerah Emas menerusi Ekspo R&D UNIMAS 2014

0

KOTA SAMARAHAN: Seramai lapan penerima Anugerah Emas menerima pengiktirafan selepas dinobatkan sebagai pemenang menerusi Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) 2014.

Ekspo dua hari yang berakhir semalam itu disertai 61 disiplin penyelidikan yang merangkumi bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan, Teknologi Kejuruteraan, Sains Tulen serta Komputer dan Teknologi Maklumat.

Majlis penangguhan ekspo tersebut disempurnakan Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, penganjuran ekspo seumpama itu amat disambut baik sebagai platform untuk warga penyelidik serta mahasiswa UNIMAS mencipta produk yang dapat dikomersialkan di pasaran semasa.

“Menerusi penganjuran ekspo seperti ini, ia dapat menjadi pemangkin serta suntikan kepada budaya persaingan di kalangan penyelidik untuk menghasilkan produk terbaik yang dapat dimajukan sebagai produk komersial.

“Pada masa sama, ia juga diharap dapat menjadi laluan untuk berkongsi idea dan pendapat mengenai hasil penyelidikan sekali gus menjadikan UNIMAS sebagai perintis termaju menerusi bidang kajian dan penyelidikan,” katanya.

Selain itu, beliau yang juga Menteri Muda Perumahan mengakui, dengan adanya produk penyelidikan yang bertaraf antarabangsa, UNIMAS dapat membantu dalam pembangunan serta kemajuan negeri secara khususnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan di Dewan Mutiara, DeTAR Putra UNIMAS, di sini, semalam.

Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, ekspo tahunan itu bertujuan mempamer hasil penyelidikan yang telah mahupun sedang dijalankan oleh penyelidik UNIMAS.

“Pameran ini merupakan pentas untuk pemilihan projek penyelidikan yang bakal diketengahkan bagi mewakili UNIMAS dalam pameran R&D di peringkat yang lebih tinggi lagi sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya.

Jelas beliau lagi, ia menjadi usaha penting UNIMAS untuk memacu nama bagi mencapai taraf universiti terkenal di dunia melalui ukuran tahap kualiti serta kuantiti penyelidik sedia ada.

Pempamer ekspo diadili para juri yang terdiri daripada pakar dalaman dan luaran yang dilantik dalam menentukan hasil penyelidikan dan pembangunan terbaik sekali gus mewakili UNIMAS ke London untuk ekspo peringkat seterusnya.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIMAS Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman, TNC Penyelidikan dan Inovasi UNIMAS Profesor Dr Kopli Bujang serta Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi Profesor Dr Fasihuddin Ahmad.