GST tidak ditangguh

0

KOTA KINABALU: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan ditangguhkan dan tetap akan dilaksanakan bermula 1 April 2015.

Timbalan Menteri Kewangan 2 Datuk Ahmad Maslan berkata, GST melibatkan struktur segala percukaian dan kerana itu ia tidak akan ditangguhkan.

Menurutnya, pelaksanaan GST perlu mengikut sistem dan akta berkaitan sudah pun diluluskan.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya sebarang kenyataan yang mengatakan tentang penangguhan GST segera dihentikan.

“Ada dua tarikh penting dalam GST iaitu 31 disember 2014 sebagai tarikh akhir pendaftaran syarikat-syarikat yang layak kerana memperolehi pendapatan RM500,000 ke atas.

“Sekiranya ada syarikat yang lewat mendaftar, pihak terbabit akan dikenakan kompaun. Justeru, tidak ada alasan untuk pendaftaran lewat kerana maklumat hanya berada di hujung jari sahaja.

“Semua maklumat berkaitan GST boleh diperolehi di dua laman web utama iaitu www.treasury.gov.my dan www.customs.gov.my,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan taklimat mengenai GST sempena Perhimpunan Penjawat Awam Persekutuan Bil. 2 2014 di sini kelmarin.

Ahmad berkata, jika berlaku kelewatan, ia adalah kesilapan pihak terbabit sendiri dan tiada alasan mereka tidak memperolehi maklumat mengenai GST.

“Saya ada melawat pusat pemprosesan GST di Kelana Jaya dan untuk membuat pendaftaran ia hanya mengambil masa selama lima minit sahaja.

“Justeru, mereka yang sepatutnya mendaftar tidak perlulah menunggu sehingga 31 Disember tahun ini untuk membuat pendaftaran,” katanya.