Kapit ujian pertama Kuching

0

KUCHING: Tuan rumah dan juara bertahan Kuching akan memulakan kempen Pertandingan Bolasepak Piala Sarawak 2014 dengan menentang Kapit pada 20 September (Sabtu) di Stadium Negeri atau Padang Yayasan Sarawak di sini.

Kedua-dua pasukan itu diundi dalam Kumpulan A bersama Bintulu dan SUKMA 2016 yang turut beraksi pada hari sama di Padang D, Petra Jaya.

Kumpulan B juga bakal menyaksikan saingan menarik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Miri dan Sarikei.

Aksi kumpulan tersebut bermula pada 21 September melibatkan pertemuan di antara PDRM dan Miri.

Saingan Kumpulan C pula mempertaruh saingan sengit Limbang, Betong, Mukah dan Samarahan.

Samarahan yang juga tuan rumah bersama bagi edisi kali ini akan memulakan kempen dengan menentang Mukah di Stadium Mini Samarahan pada 20 September.

Manakala aksi Limbang dan Betong menjadi pembukaan rasmi kejohanan yang akan berlangsung pada jam 7.45 malam di Stadium UNIMAS.

Perebutan dalam Kumpulan D tidak kurang hebatnya menyaksikan finalis 2012 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diundi bersama-sama Sri Aman dan Sibu.

ATM memulakan kempen dengan menentang Sri Aman pada 21 September di Stadium UNIMAS.

Semua perlawanan bermula jam 3.30 petang manakala perlawanan akhir jam 7.45 malam di Stadium Negeri Kuching.

Sementara itu, Pengarah Kejohanan Datu Mohammad Abu Bakar Marzuki yakin edisi kali ini berjalan lancar seperti dirancang oleh penganjur Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

“Kita berharap setiap pasukan bersaing akan mempamerkan semangat kesukanan tinggi sepanjang kejohanan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pengurus pasukan di sini semalam.

Beliau berkata, paling penting kejohanan ini diharap dapat menjadi landasan bagi menggilap lebih ramai bakat baharu bagimewakili Sarawak di peringkat lebih tinggi.

Pemenang bakal meraih hadiah lumayan berjumlah RM10,000 berserta 30 pingat emas.

Tempat kedua menerima RM5,000 bersama 30 pingat perak dan RM2,500 bagi tempat ketiga bersama.