Penyu menangis di Kuching

0

GOL!: Griffiths berjaya menewaskan penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee pada sepakan penalti dalam saingan Piala Malaysia Stadium Negeri di Kuching malam tadi. — Gambar Bernama

Angkara libasan Ngap Sayot berjaya membenam Terengganu 3-2

Oleh Harry Illias //

KUCHING: Skuad Ngap Sayot mengorak langkah kanan apabila membenam Terengganu dengan 3-2 pada perlawanan pembuka tirai Piala Malaysia 2014 di laman sendiri, Stadium Negeri di sini malam tadi.

Dua gol Sarawak dijaringkan oleh penyerang import dari Australia, Ryan Alan Griffiths masing-masing pada minit kesembilan dan minit ke-38.

Go l p e r t ama Ry a n diledakkan menerusi sepakan penalti setelah pemain sayap, Mohd Rashid Aya dijatuhkan pemain Terengganu dalam kotak penalti.

Dua puluh minit perlawanan berlalu, keduadua pasukan menayangkan aksi menarik dengan berbalas serangan yang mampu menghiburkan ribuan penonton.

Minit ke-21, Terengganu hampir-hampir menjaringkan gol apabila pemain penyerangnya, Mohd Nor Farhan melakukan percubaan bahaya namun dapat diselamatkan oleh penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani.

Pada minit ke-38, Ngap Sayot terus cemerlang dengan gol kedua yang juga dijaringkan oleh Ryan setelah menyambar kemas bola hantaran lintang Mohd Rashid dari sudut kanan gawang Terengganu.

Ketinggalan 2-0, Terengganu ternyata agak tertekan justeru melakukan beberapa serangan balas namun berjaya digagalkan jentera pertahanan Sarawak yang dikemudikan pemain import kental, Gabor Gyepes.

Sebelum ke bilik persalinan rehat babak pertama, Sarawak terus menghukum kealpaan benteng pertahanan pasukan pelawat dengan gol ketiga dijaringkan oleh S Chanturu pada masa kecederaan.

Kedudukan 3-0 agak selesa buat Sarawak pada aksi babak pertama.

Babak kedua, perlawanan semakin rancak apabila Terengganu bangkit dengan gol pertama menerusi ledakan pemain importnya, Mario Karlovic hasil sepakan sudut pada minit ke-57.

Bagaimanapun, Ngap Sayot hampir menambah jaringan keempat menerusi sentuhan ketua pasukannya, Joseph Kalang Tie pada minit ke-67 namun ledakannya terkena palang gol Terengganu.

Serangan kilat Terengganu berjaya menghasilkan gol kedua buat sang Penyu menerusi sepakan penalti Zairo Anuar pada minit ke-71, setelah Hairol Mokhtar menjatuhkan Ismail Faruqi.