Polis kaji semula keperluan lanjut perintah berkurung

0

SANDAKAN: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihak polis akan mengkaji semula keperluan sama ada akan melanjutkan perintah berkurung di perairan enam daerah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Perkara ini akan dikaji semula apabila tempoh akhir perintah berkurung itu berakhir pada Ahad ini,” katanya.

Beliau berkata, sama ada penguatkuasaan tempoh berkurung itu dilanjutkan atau sebaliknya, ia bergantung kepada keperluan semasa.

Perintah berkurung dilaksanakan di perairan Sandakan, Kinabatangan, Kunak, Lahad Datu, Semporna dan Tawau pada 19 Julai hingga 2 Ogos lalu, sebelum dilanjutkan mulai 3 Ogos lepas.

Jalaluddin berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Sandakan antara Asisten Komisioner Rowell Marong dan ACP Zabidi Md Zain di Ibu Pejabat Polis Sandakan, petang kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Supt Fadzil Mohd Ali, Ketua Cawangan Khas Daerah DSP Zakaria A Rahim dan pegawai kanan.

Zabidi merupakan bekas Penolong Pengarah (Kopolisan Am/Dasar) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.  Manakala Rowell akan berpindah tugas sebagai Timbalan Komander Pasukan Gerak Am Briged Tengah selepas menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Sandakan selama tiga tahun tujuh bulan sebelas hari.

Sebelum itu, tiga wartawan menerima sijil penghargaan daripada Rowell selepas majlis perhimpunan bulanan yang diadakan pada sebelah pagi.

Rowell turut merakamkan penghargaan kepada pihak media yang begitu banyak membantu dalam penyebaran berita tepat kepada anggota masyarakat sekali gus mengeratkan jalinan kerjasama polis dengan masyarakat sekitar.