‘Big bikers’ menceriakan anak-anak yatim Sibu

0

Sumbangan Othman Ishak

 

INI BARU ‘BEST’: Beberapa orang kanak-kanak di Kompleks PERYATIM Sibu mengambil peluang duduk di atas motosikal berkuasa tinggi bersama-sama Raden Azamry (berdiri, tiga kanan) dan rakan-rakan penunggang yang lain.

KEHADIRAN kumpulan bermotosikal berkuasa tinggi telah membawa keriangan yang tidak terkira kepada anak-anak yatim di Kompleks PERYATIM Sibu, Kemuyang, baru-baru ini.

Menurut jurucakap Raden Azamry Raden Perhan, program tersebut diadakan sempena bulan Ramadan yang mulia dan Hari Raya Aidilfitri 2014.

“Program ini yang diadakan buat julung kalinya adalah anjuran bersama pihak Rebel Angels MC Malaysia, V-Twin Syndicate MG, The B.O.S, Jebat Riders Borneo, Rolling Thunder Sibu Chapter dan the Borneo Island Big Bikers.

“Adalah menjadi harapan kami yang bertandang ke sini dapat membawa detik keriangan dan kegembiraan kepada kesemua anak yang tinggal di Kompleks PERYATIM Sibu,” tambah Raden Azamry.

Beliau berkata, selain daripada itu, program berkenaan juga bertujuan untuk menyemai serta menggalak rakan-rakan bermotosikal berkuasa tinggi di Sibu agar terlibat dalam aktiviti-aktiviti berbentuk kemasyarakatan bagi memapar imej positif pada mata masyarakat bahawa kumpulan bermotosikal berkuasa tinggi sebenarnya terdiri daripada mereka yang penyayang.

“Jika keadaan mengizinkan, pihak kami juga bercadang untuk mengadakan sekurang-kurangnya satu aktiviti setiap bulan di Kompleks PERYATIM Sibu ini,” tambah beliau.

Raden Azamry juga berkata, pihak mereka juga cukup berminat untuk menjadikan anak-anak di Kompleks PERYATIM Sibu sebagai anak angkat kepada kumpulan bermotosikal berkuasa tinggi di Sibu.

Sementara itu, sesi membonceng bersama-sama rakan-rakan ‘big bikers’ adalah aktiviti yang dinanti-nanti oleh anak-anak yatim yang teruja untuk merasai sendiri menaiki motosikal berkuasa hebat.

Selepas berbuka puasa bersama-sama anak-anak yatim, kumpulan bermotosikal berkuasa tinggi itu telah menyampaikan sembilan unit kipas serta segulung tikar getah kepada Pengurus Kompleks PERYATIM Sibu, Siti Nurainnie Bolhassan.

Kemudian mereka bersama-sama anak-anak yatim menunaikan sembahyang Maghrib dan Isyak serta sembahyang sunat Tarawih.

BUAH TANGAN: Raden Azamry (kiri) serta rakan-rakan penunggang motosikal memunggah sembilan unit kipas serta barangan lain sebagai ‘buah tangan’ setibanya di Kompleks PERYATIM Sibu.

SANTAI: Rakan-rakan penunggang membawa anak-anak yatim membonceng motosikal berkuasa tinggi mereka dengan santai sambil tersenyum.