Pelbagai aktiviti meriahkan Pesta Tasik Biru 23-24 Ogos

0

BAU: Pesta Tasik Biru 2014, jenama baharu bagi menggantikan Pesta Jong yang sinomin dengan Tasik Biru, akan diadakan pada 23 dan 24 Ogos ini.

Pengerusi Pengelola Inting Nyami merangkap Pegawai Daerah Bau berkata, majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom pada 23 Ogos.

Manakala, majlis penutupan akan dilakukan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri James Dawos Mamit pada 24 Ogos jam 1.45 petang.

Pesta Tasik Biru 2014 akan menampilkan pelbagai aktiviti berbeza daripada tahun sebelumnya.

Antaranya, lumba kayuh rakit, tarik tali berakit, berkayak, berkayak atas kayu balak dan pertandingan lumba jong dan jong cantik.

Menurut Inting, antara objektif Pesta Tasik Biru 2014 ialah untuk mempopular dan mempromosikan Tasik Biru sebagai destinasi pelancongan serta memperkenalkan acara sukan air yang amat unik dan tidak terdapat di tempat lain.

Di samping itu, katanya, pesta ini diharap dapat menarik pelancong dari luar dan dalam datang ke Daerah, sekali gus meningkatkan pendapatan ekonomi masyarakat tempatan.

Regata Jong pernah diadakan pada 31 Ogos 1986, 28 dan 29 Ogos 1988 dan dari tahun 2009 hingga 2012.

Pada tahun 2012, Regata Jong dimasukkan ke dalam kelendar Pelancongan Sarawak dan diangkat sebagai acara tahunan.

Tahun ini, ia diberi jenama baharu iaitu Pesta Tasik Biru oleh pihak penganjur bagi mempelbagaikan aktiviti selain aktiviti sukan air.

Aktiviti lain yang akan diadakan ialah seperti senamrobik, larian ‘Fun Run,’ pameran dan jualan kraf tangan, jualan makanan dan minuman, kursus pendek serta promosi pendidikan.

Hadiah berbentuk wang tunai, medal serta sijil akan dimenangi oleh pemenang setiap acara pertandingan sukan air dan larian ‘Fun Run’ nanti.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput datang beramai-ramai untuk menyaksikan Pesta Tasik Biru 2014.

Di samping berhibur dan bersuka ria, mereka di pelawa untuk turut serta dalam kursus pendek anjuran Kolej Komuniti Mas Gading selama dua hari di Tasik Biru.