Terus berjuang kecapi kemajuan

0

LANCAR: Taib menandatangani replika kamus daftar Bahasa Kedayan disaksikan oleh Awang Tengah (kiri), Rosey, Ahmad Lai dan Ripin pada Majlis Makan Tahun Perdana di Kampung Pejuang Kelulit, Bekenu semalam.

MIRI: Rakyat Sarawak mesti terus berjuang sekiranya mahu mengecapi lebih banyak kemajuan dan pembangunan.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu rakyat pelbagai kaum di negeri ini berusaha gigih agar mereka dapat menikmati lebih banyak ganjaran daripada pembangunan yang dirancang.

“Tiada istilah rehat untuk mereka yang ingin membangun, tetapi tiada pengakhiran untuk ganjaran mereka. Ini adalah satu perkara penting untuk diingat,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Tahun Perdana anjuran Persatuan Kedayan Sibuti dan Pejabat Residen Miri di Kampung Pejuang Kelulit, Bekenu, 50 kilometer dari sini, semalam.

Taib percaya rakyat Sarawak akan terus mendapat keuntungan daripada pelaksanaan program-program pembangunan yang memanfaatkan semua rakyat.

Antaranya, pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang pasti akan  memberi kemajuan ekonomi yang lebih besar kepada negeri.

“Saya ingin menyatakan kepada rakyat bahawa perjuangan kita telah berjaya. Dan, ia berjaya kerana rakyat kita sedar perjuangan kita tumpu kepada apa yang penting bagi rakyat. Bukan hanya permainan politik, bukan sahaja untuk perjuangan batang tubuh sahaja,” tegas beliau.

Beliau yakin di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dan kerajaan Barisan Nasional (BN), lebih banyak projek pembangunan yang menguntungkan rakyat akan dilaksanakan secara menyeluruh termasuk di kawasan luar bandar.

Pada majlis tersebut, Taib turut melancarkan kamus daftar kata Bahasa Kedayan yang melibatkan kerjasama Persatuan Kedayan Sibuti dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Beliau turut berpesan kepada kaum Kedayan untuk menjadikan sejarah dan kejayaan yang dicapai kini sebagai pembakar semangat kepada mereka terus membangun seiring kaum lain di Sarawak.

“Ingatlah selagi orang Kedayan bersatu padu, bekerjasama, kemajuan lebih tinggi akan dapat kita capai,” tegas beliau.

Hadir sama Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan selaku Penaung Persatuan Kedayan Sibuti, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga selaku Penasihat Persatuan Kedayan Sibuti Rosey Yunus, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, ADUN Lambir selaku Pengerusi Persatuan Kedayan Sibuti Ripin Lamat dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.