Pelari Kenya takluk Kuching

0

Oleh Mahathir Haroun

Cherop, Matebo mengungguli kategori utama lelaki dan wanita ‘Kuching Marathon 2014’

 

UNGGUL: Cherop merakam kenangan bersama Abang Johari, Abang Abdul Wahab serta tetamu lain di Kuching semalam.

KUCHING: Pelari Kenya mendominasi Kuching Marathon 2014 apabila mengungguli dua kategori utama dipertandingkan melibatkan 42km Terbuka (Lelaki) dan 42km Terbuka (Wanita).

Cherop Ezekiel Cherop memulakan penguasaan negara Afrika apabila muncul pelari pertama tiba di garisan penamat dengan catatan masa 2 jam 22 minit 9 saat sekali gus memenangi 42km Terbuka (Lelaki).

Dua rakan senegaranya, Peter Keter dan Nelson Kirwa Rotich masing-masing mencatatkan masa 2 jam 22 minit 39 saat dan 2 jam 24 minit 47 saat berada di kedudukan kedua dan ketiga.

Dengan kemenangan itu, ketiga-tiga pelari Kenya itu membawa pulang wang tunai RM15,000 (juara), RM7,500 (kedua) dan RM4,000 (ketiga).

Dominasi Kenya berterusan dalam kategori 42km Terbuka (Wanita) dengan Ruth Chemisto Matebo muncul juara dengan catatan masa 2 jam 55 minit 2 saat.

Kemenangan itu menyaksikan Ruth membawa pulang wang tunai RM15,000.

Dua lagi pelari Kenya, Viola Jepchirchir Kimeli dan Cecilia Wangui Warutumo masingmasing 2 jam 55 minit 26 saat serta 3 jam 1 minit 31 saat membawa pulang wang tunai RM7,500 dan RM4,000.

Pelari Malaysia, Ling Mee Eng turut mencuri tumpuan apabila mengungguli 42km Wanita Veteran dengan catatan masa 3 jam 38 minit 18 saat sekali gus meraih hadiah wang tunai RM4,000.

Tempat kedua dan ketiga dimenangi Nengsih Samadi dari Indonesia dan Yeung Mei Lun Melissa.

Kategori 21km Lelaki Terbuka dimenangi Kibarus Laex Kipkoris manakala Sang Alfred Kiprop dan John Waith-aka masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Jackline Nzivo pula mengungguli kategori 21km Wanita Terbuka meninggalkan Yucabeth Bore dan Carolyne Jepkosgei Chepk di tempat kedua dan ketiga.

Lee Kim Hing, Ong Chin dan Bee Voon turut mencetak nama selaku pemenang apabila masing-masing muncul juara, tempat kedua serta ketiga kategori 21km Lelaki Veteran.

Kategori 21km Wanita Veteran menyaksikan Lim Soo Gek muncul juara manakala Choo Ngiik Hung dan Linda Ho Ming Lee berada di tempat kedua dan ketiga.

Peh Yong Heng, Lim Khon Seng dan Chong Yen Boon masing-masing muncul juara, tempat kedua dan tempat ketiga 10km Lelaki Terbuka.

Seramai 5,500 pelari dari 30 negara menyertai Kuching Marathon yang buat julung kali diadakan di sini semalam.

Hadiah pemenang disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Kejayaan penganjuran Kuching Marathon 2014 buat julung kalinya memberi keyakinan Sarawak menganjurkan larian jarak jauh dengan skala lebih besar pada masa akan datang.

Menurut Abang Johari, Kuching Marathon boleh dimasukkan dalam kalendar Maraton Asia sebagai satu sirkit larian di sini.

Katanya, pada tahun depan hadiah kepada pemenang akan digandakan selain kemudahan yang diperlukan untuk larian dinaik taraf bagi menarik lebih ramai penyertaan.

“Ini merupakan kali pertama kita menganjurkan maraton dengan standard antarabangsa melibatkan pelbagai kategori termasuk 42km dan mendapat sambutan memberangsangkan.

“Dengan respons yang menakjubkan ini, tahun depan hadiah kepada pemenang akan digandakan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kuching Marathon 2014 di sini semalam.

Beliau berkata, gandaan hadiah kepada pemenang menjadikan Kuching Marathon setanding marathon yang diadakan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Ketika ini maraton di Singapura begitu popular jadi kita mahu melihat Kuching Marathon seperti itu juga,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap Persatuan Marathon Kuching dapat mengemukakan laporan kepada badan antarabangsa untuk membolehkan Kuching Marathon mendapat akreditasi.

Sesuatu yang menarik mengenai Kuching Marathon adalah melibatkan laluan yang mencabar kepada pelari selain berasaskan komuniti.

“Saya difahamkan oleh pakar, laluan di sini (Kuching Marathon) agak mencabar berbanding venue lain.

“Maraton ini berasaskan komuniti dan orang ramai membanjiri bahu jalan dengan memberi sokongan kepada pelari,” katanya.

Hadir sama Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.