14 nelayan didakwa

0

Oleh Mohd Nazib Macpee

Perintah berkurung dilanjutkan hingga 2 September

LAHAD DATU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengumumkan pelanjutan arahan perintah berkurung di perairan enam daerah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), berkuatkuasa hari ini sehingga 2 September, dengan perubahan masa dari jam 7 petang hingga 5 pagi.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira semua faktor termasuk keadaan keselamatan terkini di Esszone.

“Setelah mendapat laporan daripada semua pihak termasuk Komander Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Abdul Rashid Harun, maka saya dengan kuasa yang ada mengisytiharkan perintah berkurung dilanjutkan esok (hari ini) dengan sedikit perubahan iaitu dari jam 7 petang hingga 5 pagi.

“Saya juga telah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara ini dan beliau bersetuju perintah berkurung ini dilanjutkan dari 20 Ogos sehingga 2 September,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Mengikut undang-undang sedia ada, Pesuruhjaya Polis mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan perintah berkurung untuk tempoh sehari, manakala Menteri Dalam Negeri boleh mengisytiharkan perintah berkurung selama 14 hari.

Jalaluddin berkata, pihaknya berpuas hati dengan perjalanan arahan perintah berkurung yang dikuatkuasa di perairan enam daerah di Esszone sebelum ini.

“Kerjasama yang telah diberikan oleh masyarakat di sekitar enam daerah itu cukup baik dan saya berharap kerjasama seumpama itu diteruskan demi kebaikan bersama,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh fasa 2 perintah berkurung yang berakhir kelmarin, seramai 14 nelayan tempatan berusia antara 20an dan 40an telah didakwa di mahkamah kerana melanggar arahan perintah berkurung mengikut Seksyen 31 (2) Akta Polis 1967.

Katanya, kesemua nelayan lelaki itu masing-masing dikenakan hukuman penjara 10 hari dan denda RM500.

Sementara itu, Abdul Rashid yang turut hadir dalam sidang media itu berkata, perintah berkurung itu memudahkan pihak keselamatan menjalankan tugas di kawasan perairan terbabit, selain memudahkan pihak keselamatan mengenal pasti bot atau kapal penjenayah atau penceroboh yang cuba memasuki perairan negara.

“Oleh itu, saya minta semua masyarakat yang terlibat mematuhi arahan perintah berkurung bagi memastikan keselamatan negara khususnya di Sabah terus terjamin,” katanya.

Arahan perintah berkurung fasa pertama mula berkuatkuasa sejak 19 Julai lepas iaitu bermula dari 6 petang hingga 6 pagi, susulan insiden serangan kumpulan bersenjata ke atas dua anggota polis marin di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai lepas.

Selepas itu, Abdul Rashid telah mengumumkan pelanjutan arahan perintah berkurung fasa 2 yang berkuatkuasa pada 3 Ogos sehingga semalam.

Perintah berkurung itu merangkumi enam daerah di Esszone iaitu Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Kawasan perintah berkurung bermula selepas tiga batu nautika dari pantai sepanjang perairan dari Sandakan melalui daerah Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna hingga ke Jeti Tawau sejauh 362 batu nautika meliputi kawasan seluas 121,270 batu nautika persegi.