Sarawak yakin kekal juara

0

Oleh Agnes Tugong //

Kontinjen Paralimpiad sedia buru kejuaraan buat kali ke-11 di Perlis bermula hari ini

SELAMAT BERJUANG: Fatimah (dua kanan) menyampaikan bendera Negeri Sarawak kepada Ketua Kontinjen Atlet Paralimpiad Perlis 2014 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri di Kuching semalam. — Gambar Muhd Rais Sanusi

KUCHING: Kontinjen Paralimpiad Sarawak yakin mampu kekalkan kejuaraan buat kali kesebelas pada Kejohanan Paralimpiad Malaysia Ke-17 Perlis 2014 yang bermula hari ini hingga 28 Ogos nanti.

Kontinjen Sarawak disertai seramai 124 orang atlet dan 41 orang pegawai, pengurus dan jurulatih akan bersaing merebut pingat dalam enam daripada sembilan acara yang dipertandingkan.

Antaranya ialah olahraga, pingpong, powerlifting, boling padang, renang dan badminton dengan rekod sebelum ini yang menyaksikan penguasaan para atlet Sarawak.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah yakin atlet-atlet Sarawak mampu mengekalkan prestasi cemerlang yang dicatatkan sejak 1994.

Katanya, berdasarkan rekod sebelum ini Sarawak berjaya mengekalkan kejuaraan selama10 kali berturut-turut dari tahun 1994 hingga 2012.

“Saya yakin dan percaya atas usaha gigih para atlet, pegawai, pengurus dan pelatih, rekod cemerlang Sarawak tidak akan dapat dipecah oleh mana-mana kontinjen pada kejohanan ini.

“Saya berharap semua atlet akan bersaing dengan semangat kesukanan yang tinggi untuk mengekalkan kejuaraan buat kali ke-11 sebelum menjadi tuan rumah pada kejohanan 2016,” katanya pada majlis penyerahan bendera kontinjen Sarawak di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Abdul Haris Ishak berkata rata-rata atlet yang mengambil bahagian pada kejohanan kali ini telah bersedia sepenuhnya untuk bertanding.

Malah, katanya, sebelum melangkah ke kejohanan yang bermula hari ini kontinjen Sarawak telah mengikuti latihan intensif mulai 12 hingga 18 Ogos di Kompleks Belia dan Sukan Negeri sebagai persediaan terakhir.

“Kami yakin kontinjen Sarawak mampu mengekalkan kejuaraan buat kali ke-11 seperti yang pernah dicatatkan pada kejohanan-kejohanan sebelumnya,” kata Haris.

BERSEMANGAT: Kontinjen Paralimpiad Sarawak melaungkan slogan Sarawak Boleh! sebelum memulakan cabaran memburu kejuaraan buat kali ke-11 Kejohanan Paralimpiad Malaysia Ke-17 Perlis mulai hari ini hingga 28 Ogos ini. — Gambar Muhd Rais Sanus