MRT: Najib mahu siasatan penuh kejadian runtuhan konkrit

0

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mahu siasatan penuh dijalankan berhubung kejadian runtuhan konkrit landasan di tapak projek Mass Rapid Transit (MRT) di Kota Damansara di sini malam kelmarin.

“Terkejut dan sedih apabila mendengar mengenai kejadian di kawasan tapak kerja MRT. Satu siasatan penuh perlu dijalankan segera bagi memastikan ia tidak berulang lagi,” katanya dalam akaun Twitter.

Tiga pekerja binaan rakyat Bangladesh dikhuatiri maut selepas dihempap landasan konkrit seberat 490 tan di tapak projek MRT berhampiran Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI) jam 8.30 malam kelmarin.

Seorang daripada mereka ditemui mati. Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, mayat Mohammad Elahi Hossain, 27, ditemui terperangkap di bawah landasan konkrit itu pada jam 2.30 pagi semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai insiden yang sama dalam akaun Facebook beliau, Najib mahu semua penggiat industri pembinaan memastikan keselamatan di tapak kerja.

Perdana menteri yang jelas bimbang berhubung insiden yang menyebabkan kematian itu berkata usaha memastikan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat-tempat sedemikian boleh dilakukan dengan mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Semua pihak yang terbabit dalam industri pembinaan perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan mengikuti dengan betul garis panduan demi keselamatan dan kesihatan awam di tapak-tapak pembinaan, kata Najib.

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dalam kenyataan sebelum itu menyatakan bahawa syarikat itu akan menyiasat punca kejadian bagi menentukan sama ada prosedur diikuti dengan betul dan mengambil tindakan. — Bernama