Tommy kekal dihukum mati

0

PENGHUJUNG JALAN: Tommy diiringi keluar oleh pegawai penjara selepas rayuannya ke atas hukuman mati ditolak oleh Mahkamah Persekutuan di Kuching, semalam.

KUCHING: Seorang lelaki dari Sri Aman yang disabit kesalahan gagal dalam usaha terakhirnya mengetepikan hukuman mati ke atasnya di Mahkamah Persekutuan di sini, semalam.

Hakim memutuskan untuk mengesahkan keputusan mahkamah rendah yang mensabit Tommy Sebi, 53, atas kesalahan membunuh seorang wanita di sebuah tandas awam di Sri Aman antara jam 5 pagi dan 5 petang, 4 April 2009.

Mangsa yang juga berasal dari Sri Aman meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditikam beberapa kali menggunakan pisau.

Tommy didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 18 Januari 2010 dan rayuannya di Mahkamah Rayuan telah ditolak. Justeru, hukuman mati ke atasnya kekal.

Semasa perbicaraan, Tommy mendakwa mengalami skizofrenia dan mempunyai sejarah masalah mental, tetapi pihak perubatan mempertikaikannya selepas tertuduh menjalani pemerhatian selama sebulan.

Laporan kesihatannya menunjukkan tertuduh adalah waras untuk menghadapi perbicaraan.