20 jenazah mangsa warga Malaysia dibawa pulang esok

0

Lapan lagi belum dapat pelepasan daripada Netherlands

SIDANG MEDIA: Hishammuddin (tengah) bersama (dari kiri) Rohani, Ahmad Shabery dan Liow pada sidang media berkenaan upacara penerimaan jenazah mangsa pesawat Malaysia Airlines MH17 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Putrajaya, semalam. Turut sama Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari (kanan). — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10 pagi, Jumaat ini akan melibatkan 20 jenazah mangsa warganegara Malaysia.

Kumpulan pertama jenazah itu terdiri daripada 17 keranda dan tiga lagi di dalam bekas abu namun tidak melibatkan jenazah warga Belanda yang dilaporkan sebelum ini akan dikebumikan di Malaysia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata senarai penuh jenazah mangsa akan diumumkan hari ini.

“Perbincangan kita dalam Jemaah Menteri, kita mengesahkan pada Jumaat ini kita akan terima 20 jenazah warganegara kita kembali ke tanah air. Kita juga dapat pengesahan walaupun ada tambahan jenazah tetapi ia tidak menjejaskan persiapan di negeri-negeri berkenaan,” katanya dalam sidang media bersama di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini semalam.

Hadir sama ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Setakat ini, 28 rakyat Malaysia mangsa nahas MH17 telah dikenal pasti. Namun, lapan lagi jenazah belum mendapat perlepasan daripada pihak berkuasa Netherlands untuk dibawa pulang pada Jumaat ini.

“Kita sedang buat persiapan untuk penerimaan kedua, dijangka pada 24 Ogos ini,” kata Hishammuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Koordinasi Persediaan Pelaksanaan Istiadat Penerimaan Jenazah Warganegara Malaysia Tragedi MH17 pada Jumaat ini, yang diisytiharkan sebagai Hari Perkabungan Negara.

Beliau berkata semua anggota Dewan Rakyat daripada semua parti politik dijemput menghadiri istiadat penghormatan di Kompleks Bunga Raya, KLIA.

Katanya Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah memberi perkenan untuk berangkat menghadiri istiadat berkenaan.

Beliau berkata Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dijangka berangkat pada majlis penerimaan jenazah di Ipoh, Perak.

Dalam pada itu, Hishammuddin berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama dalam persiapan menyambut jenazah mangsa MH17.

“Kita hanya buat apa yang termampu. Kerajaan cuba melibatkan orang ramai melalui bertafakur bersama. Tiada sebab untuk rakyat Malaysia tidak dapat mengetepikan satu minit untuk memberi penghormatan kepada mangsa nahas,” katanya.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu.

Selain 43 warga Malaysia, penumpang pesawat itu turut terdiri daripada warganegara Netherlands, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand. — Bernama