Chong Wei nekad rangkul kejuaraan di Copenhagen

0

SEPANG: Walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tetap meletakkan sasaran untuk muncul juara pada Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2014 dari 25-31 Ogos ini di Copenhagen, Denmark.

Perseorangan lelaki nombor satu dunia itu berkata beliau akan diiringi beberapa pakar perubatan bagi memastikan kecederaan yang dialami pada Kejohanan Siri Super Terbuka Indonesia awal tahun ini tidak menjejaskan persembahannya pada Kejohanan Dunia.

“Walaupun saya belum pulih sepenuhnya, saya perlu menyertainya kerana ia adalah penting untuk saya. Sasaran saya tidak pernah berubah iaitu muncul juara,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini sebelum berlepas ke Copenhagen bersama skuad badminton negara, malam kelmarin.

Chong Wei mengakui walaupun musuh utamanya, Lin Dan dari China gagal melayakkan diri ke Kejohanan Dunia ekoran kedudukan ranking yang rendah, namun beliau menyifatkan laluan dalam memburu gelaran dunia sulung tetap berliku.

“Keadaan saya pada ketika ini bukanlah berada pada tahap terbaik. Saya akan cuba yang terbaik dan tidak berputus asa. Saya tidak mempunyai masalah dengan kecergasan tapi lebih bimbangkan prestasi semasa saya kerana hampir dua bulan tidak beraksi (dalam mana-mana kejohanan kompetitif),” katanya.

Chong Wei bakal memulakan aksi pusingan awal berdepan pemain muda Korea Selatan, Lee Dong Keun.

Dalam pada itu, Chong Wei Feng menyasarkan sekurangkurangnya untuk mara ke pusingan ketiga pada edisi ke-21 kejohanan.

Mengakui undian pada kali agak sukar, perseorangan kedua negara itu mahu memberikan fokus dalam setiap perlawanan sebelum memikirkan lawan seterusnya.

“Saya akan berikan persembahan terbaik bagi sekurangnya- kurangnya berdepan Chen Long pada pusingan ketiga. Bagaimanapun saya perlu memberikan perhatian kepada lawan pada pusingan awal kerana ia bukanlah perlawanan yang agak mudah,” kata pemain kidal itu. — Bernama