Pesawat di KLIA ‘bertafakur’ selama dua minit

0

PUTRAJAYA: Pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan ‘bertafakur’ selama dua minit sempena istiadat penerimaan jenazah mangsa tragedi MH17 Jumaat ini.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia Datuk Azharuddin A. Rahman berkata pada waktu itu tiada pergerakan pesawat akan berlaku di kawasan landasan sebagai tanda penghormatan.

Jenazah yang diterbangkan dari Amsterdam melalui pesawat khas dijadual tiba di kawasan Kompleks Bunga Raya, KLIA pada jam 10 pagi Jumaat ini.

Azharuddin berkata penghormatan yang diberikan pesawat-pesawat itu tidak akan memberikan impak kepada pergerakan trafik di KLIA.

“Walaupun mereka (pesawat) perlu “bertafakur’ ia tidak akan menjejaskan sebarang pergerakan dan jadual penerbangan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Bahagian Operasi MAHB Datuk Azmi Murad berkata operasi di KLIA pada hari berkenaan akan berjalan seperti biasa.

“Buat masa ini, semuanya akan berjalan seperti biasa dan pihak MAHB akan mengikut segala perancangan diatur oleh pihak Angkatan Tentera Malaysai (ATM) sebagai pengelola majlis istiadat hari perkabungan negara itu,” katanya.

Kompleks Bunga Raya akan menjadi lokasi istiadat penghormatan pertama yang dikelolakan ATM melibatkan jenazah orang awam.

Pada 22 Ogos ini diisytiharkan sebagai Hari Perkabungan Negara.

Penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, membawa 298 orang termasuk anak kapal, ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai. — Bernama