Pindah minyak haram, bot nelayan dan kapal tangki ditahan

0

Oleh RUZAINI ZULKIFLI //

KOTA KINABALU: Sebuah bot nelayan dan kapal tangki disita Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah selepas didapati menjalankan aktiviti memindah minyak secara haram di perairan ibu negeri awal pagi Isnin lalu.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 12.50 pagi itu turut menyaksikan seramai lapan lelaki warganegara asing dan tiga warga tempatan berusia 21 hingga 55 tahun ditahan bagi tindakan lanjut.

Ketua Penguatkuasa APMM Kota Kinabalu Kapten Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, serbuan itu dilakukan selepas sepasukan anggota berjaya mengesan bot dan kapal tangki terbabit dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan di perairan itu.

“Kita kemudiannya bertindak menahan bot nelayan dan kapal tangki itu untuk diperiksa.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua pengangkutan atas air itu didapati menjalankan aktiviti memindahkan minyak yang disimpan ke dalam tangki-tangki simpanan ikan.

“Difahamkan mereka telah bertindak memindahkan kira-kira 10,000 liter minyak diesel dari bot nelayan itu ke kapal tangki terbabit sebelum berjaya dipatahkan APMM,” katanya di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Zin Azman berkata bot nelayan itu turut difahamkan gagal mengemukakan sebarang dokumen sah dan siasatan awal mendapati kapal tangki tersebut berdaftar dari Miri, Sarawak.

Kes disiasat mengikut Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana disyaki melakukan pemindahan minyak secara tidak sah dan jika didapati bersalah boleh dikenakan tindakan denda maksimum RM100,000.