Tiru cop demi pinjaman wang

0

Oleh RUZAINI ZULKIFLI //

KOTA KINABALU: Demi mendapatkan pinjaman wang, dua kakitangan Hospital Pitas sanggup memalsukan tandangan dan cop peribadi pengarah semata-mata memenuhi kriteria kelulusan sebuah koperasi, di sini baru-baru ini.

Kedua suspek berusia 38 dan 40 tahun itu bagaimanapun hanya sempat berputih mata selepas tindakan mereka berjaya dihidu sebelum ditahan oleh sepasukan anggota Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat pada Isnin lalu.

Ketika ditahan, polis menemui sejumlah cop palsu dipercayai digunakan oleh suspek untuk tujuan penipuan berkenaan.

Antara yang dirampas adalah satu cop peribadi pengarah Hopital Pitas, cop rasmi Hospital Pitas, cop pengarah Hospital Kota Marudu, cop pembantu tadbir Hospital Kota Marudu dan dua cop pagawai perubatan Hospital Kota Marudu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sabah Superintenden Saiman Kasran berkata, tangkapan itu dilakukan sebaik pihaknya menerima aduan daripada pengarah hospital berkenaan sekitar 13 Ogos lalu berhubung isu itu.

“Bertindak atas maklumat, kita berjaya menahan kedua-dua suspek di hospital terbabit pada 18 Ogos lepas.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut merampas beberapa cop termasuklah cop ‘Disahkan Benar’ dan stamp pad yang dipercayai digunakan suspek bagi menipu.

“Selain daripadanya, turut ditemui adalah cop-cop peribadi milik pengarah Hospital Pitas, cop rasmi hospital dan lain-lain,” katanya di sini kelmarin.

Menurut Saiman, kedua-dua suspek itu kini ditahan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.