Kronologi tragedi MH17

0

17 Julai 2014       :               Pesawat MAS MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal terhempas dipercayai ditembak jatuh dengan peluru berpandu BUK di timur Ukraine.

 

18 Julai 2014       :               MAS mengesahkan menerima pemberitahuan daripada ATC Ukraine bahawa ia telah terputus hubungan dengan MH17 pada 1415 GMT, 30km dari Tamak kira-kira 50km dari sempadan Rusia-Ukraine.

 

18 Julai 2014       :               Keluarga anak kapal dan penumpang dari Malaysia dimaklumkan dan secara berperingkat-peringkat dibawa ke Hotel Mariott, Kuala Lumpur pada jam 8 pagi untuk diberi taklimat oleh MAS mengenai perkembangan insiden itu. Kumpulan pemisah yang menggelar diri mereka sebagai Republik Rakyat Donetsk menemui kotak hitam MH17 namun enggan menyerahkannya kepada Malaysia sebaliknya kepada Interstate Aviation Committee (AIC) di Moscow.

 

19 Julai 2014       :               Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghubungi Presiden Rusia Vladimir Putin bagi menyatakan ketegasan Malaysia kepada pemimpin itu mengenai pentingnya pasukan penyiasat memasuki kawasan pesawat MH17 terhempas secepat mungkin.

 

20 Julai 2014       :               Pasukan Siasatan Khas Malaysia tidak dibenarkan memasuki kawasan nahas yang dikawal ketat oleh askar puak pemisah. Malah, pekerja kecemasan Ukraine dipaksa memberi 196 mayat ditemui kepada mereka yang seterusnya dimasukkan ke dalam kereta api bergerabak dingin di Torez, kira-kira 15km dari kawasan nahas.

 

21 Julai 2014       :               Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan rundingan terus  melalui panggilan telefon dengan ketua puak pemisah Alexander Borodai yang menguasai lokasi nahas dan beliau berjaya merungkai dan menyelesaikan tiga perkara iaitu kesemua mayat akan dibawa dari Kharkiv ke Amsterdam, dua kotak hitam diserahkan kepada pasukan Malaysia dan lokasi nahas hendaklah selamat dalam radius 10km bagi memudahkan pegawai penyiasat Malaysia dan antarabangsa akses ke sana.

 

22 Julai 2014       :               Kumpulan pemberontak menyerahkan dua kotak hitam kepada pegawai Malaysia di Donestk, Ukraine. Mereka turut mengisytiharkan gencatan senjata di zon 10km mengelilingi lokasi nahas untuk membolehkan pasukan penyiasat antarabangsa memasuki kawasan itu dengan selamat.

 

23 Julai 2014       :               Malaysia memutuskan kotak hitam akan dihantar ke Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara di Farnborough, United Kingdom yang mempunyai kepakaran antarabangsa tercanggih untuk dianalisis.

 

1 Ogos 2014        :               Pakar antarabangsa memulakan siasatan di lokasi nahas pesawat MH17 walaupun tentera Ukraine mengancam akan meneruskan serangan terhadap kumpulan pemberontak pro-Rusia selepas operasi ketenteraan dihentikan selama sehari.

 

6 Ogos 2014        :               600 bahagian jasad mangsa tragedi MH17 dikeluarkan dari 226 keranda yang dibuka untuk diperiksa oleh pasukan penyiasat antarabangsa dan Kementerian Kesihatan Malaysia di Kem Tentera Hilversum, Belanda dan daripada jumlah itu 150 daripadanya adalah jasad sempurna manakala 450 dalam bentuk cebisan jasad untuk proses pemadanan.

 

15 Ogos 2014      :               Malaysia menerima laporan hasil siasatan awal dua kotak hitam pesawat MH17 dan pasukan penyiasat antarabangsa akan membuat pendedahan mengenainya kepada umum.

 

19 Ogos 2014      :               Seramai 28 jasad warga Malaysia sudah dikenal pasti membabitkan 14 beragama Islam dan 14 bukan beragama Islam.

 

22 Ogos 2014      :               Seramai 20 daripada 28 penumpang rakyat Malaysia dibawa pulang ke tanah air dan ketibaan mereka akan disambut dalam Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi Pesawat MH17 di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.